Kerajaan cekap, berpengalaman dan stabil mampu capai pertumbuhan negara - Pakar Ekonomi | DagangNews Skip to main content

Kerajaan cekap, berpengalaman dan stabil mampu capai pertumbuhan negara - Pakar Ekonomi

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempengerusikan mesyuarat Kabinet, baru-baru ini.
Oleh Prof. Muzafar Shah Habibullah – Ahli Ekonomi Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU- ERA)

DOKUMEN penting bagi rakyat Malaysia, iaitu Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) yang diterbitkan pada tahun 2019 membawa harapan baharu untuk seluruh Keluarga Malaysia ke arah Malaysia yang menjanjikan kemakmuran dan kemampanan pembangunan ekonomi yang inklusif dan lebih saksama.

 

Untuk mencapai hasrat murni ini, kerajaan Malaysia mesti bertekad dan komited untuk menggemblengkan segala usaha ke arah dan saran ekonomi tersebut.

 

Di dalam tempoh WKB 2030, dua lagi dokumen penting iaitu RMK-12 (2021-2025) dan RMK-13 (2026-2030) boleh diletakkan sebagai dokumen dasar asas yang boleh digunakan untuk mencetus dan memecut ekonomi negara ke arah ekonomi negara yang diilhamkan dalam WKB 2030.

 

Pemecutan ini sangat penting oleh kerana arah dan sasaran ekonomi Malaysia telah pun terpesong jauh dan tergendala disebabkan oleh ketidakstabilan politik yang berlaku selepas PRU14 dan situasi ini menjadi lebih parah lagi dengan krisis berkembar yang melanda Malaysia – krisis kesihatan yang disebabkan oleh penyebaran pandemik COVID-19 dan krisis ekonomi kos sara hidup yang meruncing pada tahun 2020 dan 2021.


 

Prof. Muzafar Shah Habibullah
Prof. Muzafar Shah Habibullah

 


Belanjawan tahunan yang dibentangkan dan dicadangkan perlulah dijana dan dimanfaatkan untuk menyokong matlamat dasar RMK-12 dan seterusnya ke arah mencapai hasrat WKB 2030.

 

Dalam hal ini, Bajet 2023 merupakan belanjawan yang sangat penting untuk mengalihkan dan melonjakkan ekonomi negara ke sasaran asal dengan cepat dan tepat.

 

Ini adalah kerana Malaysia hanya mempunyai 3 tahun lagi untuk mencapai hasrat yang terkandung dalam RMK-12 dan seterusnya menghampiri separuh matlamat WKB 2030 dan yang selebihnya ditugaskan dan terkandung dalam RMK-13 nanti.

 

Masyarakat Malaysia sudah tentu telah arif dan belajar bahawa kestabilan politik itu sangat penting sekiranya rakyat Malaysia ingin mengecapi kehidupan yang selesa dan taraf hidup yang lebih baik setidak-tidak aras kehidupan sebelum pandemik COVID-19.

 

Kajian telah pun menunjukkan bahawa kestabilan politik boleh membawa kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi.

 

Selain daripada itu, keberkesanan kerajaan juga boleh membawa ekonomi negara pada tingkat pertumbuhan yang lebih baik.

 

Gambarajah 1 dan Gambarajah 2 jelas menunjukkan bahawa 1% peningkatan situasi kestabilan politik boleh meningkat pertumbuhan ekonomi sebanyak 0.25%; manakala 1% peningkatan dalam keberkesanan kerajaan akan meningkat pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 0.61%.

 

 

Gambarajah 1. Korelasi kestabilan politik dan pertumbuhan ekonomi

Kestabilan Politik dan Ketiadaan Keganasan (Indeks)

Prof. Muzafar Shah Habibullah

 


Gambarajah 2. Korelasi keberkesanan kerajaan dan pertumbuhan ekonomi

Prof. Muzafar Shah Habibullah
Sumber: World Development Indicator (Bank Dunia)

 

 

Keberkesanan Kerajaan (Indeks)

Prof. Muzafar Shah Habibullah
*
*
Nota: Angka berwarna merah merupakan angka unjuran.

 

 

Indikator di atas menunjukkan unjuran pertumbuhan KDNK RMK-12 adalah purata 5.0% setahun (4.5%-5.5% untuk tempoh RMK-12 2021-2025) dan unjuran Bank Dunia (IMF) untuk tempoh 2022- 2025 adalah 5.61% untuk tahun 2022 dan unjuran KDNK akan lebih perlahan dalam tahun 2023-2025.

 

Manakala unjuran Belanjawan 2023 untuk tahun 2022 adalah sebanyak 6.5%-7.0%. Justeru itu, untuk mencapai unjuran pertumbuhan 6.5% untuk tahun 2022, kerajaan yang memerintah mestilah berupaya, berdedikasi dan berpengalaman untuk memacu ekonomi negara ke tahap pertumbuhan tersebut.

 

Keberkesanan kerajaan dan kestabilan politik yang telah pernah dikecapi selama 60 tahun akan membolehkan kerajaan yang berpengalaman untuk mencapai pertumbuhan yang tinggi dan juga penurunan dalam kadar pengangguran, kestabilan inflasi dan juga peningkatan dalam gaji dan upah.

 

Indikator menunjukkan kadar pengangguran disasarkan pada 4.0% pada 2025 dan ini bermakna pada tahun 2022 kadar pengangguran akan menurun dibandingkan tahun 2021.

 

Kerajaan yang cekap, berpengalaman dan stabil juga dengan dasar yang berkesan sudah tentu dapat mengekalkan inflasi pada purata 2.7 %; juga dasar yang menyokong pasaran buruh akan dapat meningkatkan purata upah dan gaji pekerja untuk tempoh 2022-2025 pada tahap yang lebih baik. – DagangNews.com