Kerajaan komited sediakan perumahan mampu milik kepada golongan M40 - PM | DagangNews Skip to main content

Kerajaan komited sediakan perumahan mampu milik kepada golongan M40 - PM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 7 Dis - Kerajaan komited menyediakan perumahan mampu milik yang selesa kepada semua golongan Keluarga Malaysia yang berpendapatan sederhana rendah atau M40 melalui inisiatif Residensi Wilayah Keluarga Malaysia, 


Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, menerusi inisiatif itu tumpuan pembangunan adalah di kawasan membangun walaupun terpaksa berhadapan dengan cabaran nilai hartanah yang semakin tinggi.

 

Beliau berkata, Residensi Wilayah Keluarga Malaysia bertujuan merealisasikan impian warga Wilayah Persekutuan untuk memiliki kediaman sendiri dengan persekitaran yang selesa dan kondusif. 

 

"Apa yang menjadi keutamaan adalah harga rumah tersebut berpatutan dan mampu milik," katanya ketika Majlis Penyerahan Kunci Residensi Wilayah Keluarga Malaysia Residensi Kuchaimas, di sini hari ini.

 

Ismail Sabri berkata, sasaran Residensi Wilayah Keluarga Malaysia adalah untuk menyediakan sebanyak 80,000 unit dalam tempoh 10 tahun sehingga 2028, dengan sasaran 8,000 unit setahun.

 

Beliau meminta agar Kementerian Wilayah Persekutuan dan agensi-agensi di bawahnya memastikan sasaran yang ditetapkan dapat dicapai dengan kerjasama pemaju swasta kerana ini adalah penting untuk kesejahteraan Keluarga Malaysia.

 

PNM

 

Beliau juga menghargai komitmen dan dedikasi pemaju dalam menjayakan program ini yang membantu merealisasikan aspirasi kerajaan untuk menyediakan rumah mampu milik untuk warga Wilayah Persekutuan.

 

"Sehingga November lalu, sebanyak 62,836 unit rumahyang melibatkan 102 projek Residensi Wilayah Keluarga Malaysia telah mendapat kelulusan untuk pembinaan di Wilayah Persekutuan. 

 

"Daripada jumlah itu, sebanyak 95 buah projek terletak di Kuala Lumpur, tiga di Putrajaya dan empat di Labuan," katanya.

 

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, Residensi Kuchaimas menggambarkan keterangkuman Keluarga Malaysia dengan 60.3% kaum Bumiputera, 37.4% kaum Cina dan 2.3% kaum India.

 

Beliau berkata, Residensi Kuchaimas ini juga menawarkan pelbagai kemudahan komuniti seperti ruang taska, tempat rekreasi, bilik permainan, ruang kedai dan surau selain berdekatan dengan sekolah.

 

"Di samping itu, residensi ini juga menyediakan dewan serbaguna dan kawasan khusus untuk komuniti menjalankan aktiviti bersama keluarga dan jiran tetangga.

 

"Residensi Kuchaimas terletak di lokasi strategik dan mempunyai akses mudah kepada lebuh raya utama seperti Lebuhraya Pantai Baru dan Lebuhraya SMART yang dapat memudahkan penduduk untuk menjalankan urusan harian," katanya.

 

Residensi Kuchaimas merupakan salah satu projek Residensi Wilayah Keluarga Malaysia yang dibina di atas tanah berkeluasan 1.58 ekar. 

 

Blok bangunan berketinggian 49 tingkat ini, menyediakan 478 unit kediaman pada harga RM198,000 setiap unit. 

 

Setiap kediaman ini berkeluasan 800 kaki persegi, dengan tiga bilik tidur, dua bilik air dan satu petak tempat letak kereta berbumbung. - DagangNews.com