Kerajaan Persekutuan tidak pernah bezakan pembangunan di negeri, DUN pembangkang - PM | DagangNews Skip to main content

Kerajaan Persekutuan tidak pernah bezakan pembangunan di negeri, DUN pembangkang - PM

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merasmikan majlis pecah tanah projek PPR Kepala Batas, Masjid Bandar Putra Bertam dan Kepala Batas Youth Centre (KBYC) di Kepala Batas, Pulau Pinang pada 2 November 2022. - Gambar BERNAMA

KEPALA BATAS 2 Nov - Kerajaan Persekutuan tidak pernah membeza-bezakan pembangunan di negeri atau kawasan Dewan Undangan Negeri di bawah pembangkang demi kepentingan masyarakat kawasan itu, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Perdana Menteri berkata, ia termasuk Pulau Pinang yang tidak pernah dipinggirkan kerajaan Persekutuan meskipun ia diterajui oleh pembangkang, lapor Bernama.

 

“Kalaulah begini ikhlasnya kerajaan Persekutuan, eloklah pilih kerajaan Persekutuan daripada (berbanding) parti pada 19 November ini,” kata beliau ketika merasmikan majlis pecah tanah projek Program Perumahan Rakyat (PPR), Masjid Bandar Putra Bertam dan Kepala Batas Youth Centre (KBYC) di sini hari ini.

 

Komitmen kerajaan juga, kata beliau, boleh dilihat dengan pengumuman tiga projek yang dirasmikan hari ini di DUN Pinang Tunggal, Pulau Pinang yang diterajui pembangkang.

 

Rakyat Malaysia akan memilih kerajaan baharu pada 19 Nov ini setelah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh itu bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), penamaan calon pada 5 November dan pengundian awal pada 15 November 2022. - DagangNews.com