Kerja baiki kabel di Jambatan Pulau Pinang siap 11 hari lebih awal - TNB | DagangNews Skip to main content

Kerja baiki kabel di Jambatan Pulau Pinang siap 11 hari lebih awal - TNB

HEAD Grid Maintenance TNB, Kamarol Zaman Razak (dua, kiri) membuat tinjauan kerja-kerja baik pulih pada hari pertama dilaksanakan bermula 4 Mac 2021.

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 21 Jun - Kerja-kerja membaiki kabel voltan tinggi milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang terbakar di Kilometer (KM) 3.2 Jambatan Pulau Pinang pada 22 Februari 2021 dijangka siap untuk mula tugas pada 25 Jun ini, hampir dua minggu lebih awal daripada dijadualkan.

 

Ketua Pegawai Grid TNB, Datuk Ir. Husaini Husin berkata, komitmen pantas dan berterusan TNB dengan kerjasama pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) serta PLUS Malaysia Berhad (PLUS) membolehkan kerja-kerja baik pulih berjalan lebih cepat daripada dijadualkan pada 6 Julai 2021 walaupun berdepan keadaan laut yang bergelora.

 

“Kerja-kerja baik pulih bermula pada 4 Mac 2021 melibatkan penggantian tiga kabel voltan tinggi dari Pencawang Masuk Utama (PMU) Bukit Tengah ke Bayan Mutiara sepanjang kira- kira 1 kilometer (km).

 

Husaini Husin
Husaini Husin

 

“Sepanjang tempoh pembaikan, kelancaran trafik di Jambatan Pulau Pinang tidak terganggu sama sekali kerana TNB hanya menggunakan jalan laut. 

 

“Kerja-kerja pembaikan juga tidak menjejaskan daya harap dan kestabilan bekalan elektrik ke Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Jelas beliau lagi, TNB menggunakan bot dan baj untuk mengangkat peralatan dan alat gantian, selain melakukan kerja merentang kabel menggunakan baj sepenuhnya.

 

Kerja-kerja diteruskan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 semasa situasi pandemik COVID-19 yang membimbangkan setelah mendapat kelulusan daripada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengekang penularan wabak di tapak kerja.

 

TNB-KABEL P.PINANG
KERJA-KERJA membaiki kabel voltan tinggi yang terbakar di KM3.2 Jambatan Pulau Pinang dilaksanakan sepenuhnya menggunakan baj dan pengangkutan air bagi memastikan kelancaran trafik di jambatan tidak terjejas.

 

“Keutamaan TNB ialah memulihkan kerosakan yang berlaku agar pengguna di Pulau Pinang dapat berterusan menerima bekalan elektrik yang stabil dan berdaya harap, selaras dengan nilai teras kami yang Mengutamakan Pelanggan.

 

“TNB berterima kasih atas kerjasama yang diberikan pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri Pulau Pinang; Suruhanjaya Tenaga (Pulau Pinang, Kedah dan Perlis); LLM; PLUS; Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia; Polis Diraja Malaysia dan Penang Port Sdn. Bhd,” tambah Husaini.

 

Laporan siasatan kejadian sedang disediakan dan akan dimuktamadkan bersama pihak PLUS pada bulan Julai 2021. - DagangNews.com