PUTRAJAYA 29 Okt - Dua syor telah dikemukakan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk dipertimbangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membolehkan individu positif COVID-19 mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Namun, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keputusan SOP (prosedur operasi standard) bagi individu positif COVID-19 mengundi akan diketahui pada Isnin.
Syor pertama, katanya adalah menyediakan satu laluan dan bilik mengundi khas untuk individu positif COVID-19.
“Satu lagi pilihan adalah pesakit COVID-19 datang ke khemah KKM, kita pastikan mereka ada pelindung dan sebagainya, barulah kita bawa pesakit tersebut ke tempat mengundi. Tak perlu beratur dan sebagainya,” katanya seperti dilapor Bernama selepas acara Putrajaya Pink October Fun Walk 2022, hari ini.
Beliau sebelum ini dilaporkan berkata individu yang positif COVID-19 namun tidak kritikal, akan dibenarkan mengundi pada PRU15, dengan mematuhi SOP ketat yang akan diumumkan SPR kelak.
SPR menetapkan 19 November sebagai hari pengundian bagi PRU15 manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 5 dan 15 November depan.
Pada 10 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Parlimen dibubarkan selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memberi laluan kepada PRU15. - DagangNews.com