Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 30 Nov - Kejayaan KL City FC (KL City) memiliki ramuan untuk menjadi antara empat kelab terbaik dalam kancah Liga Malaysia pada masa akan datang.
Presiden KL City, Tan Sri Annuar Musa berharap, aksi final Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) malam ini akan menjadi pemangkin kepada usaha itu selain menambah keyakinan warga kota untuk terus menyokong pasukan itu.
Annuar berkata, beliau tidak terlibat dengan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) atas pilihannya sendiri dan cuma mahu menyokong KL City daripada belakang atas rasa cinta kepada bola sepak.
“Saya lihat KL City ini ada segala potensi yang baik dan kita harap kemasukan ke final menambah keyakinan kepada semua orang sebab kadang-kadang orang KL duduk sebelah stadium pun tak datang menyokong.
“Warga kota belum disebatikan lagi dengan semangat bola sepak, jadi final malam ini kita mulakan sesuatu, ada peranan untuk dimainkan semua.
“Saya harap selepas edisi ke-100 Piala Malaysia ini akan membuka lembaran baharu bagi KL City menjadi salah satu daripada empat pasukan terbaik sepanjang masa,” katanya.
Sementara itu, Annuar menafikan pernah menjemput mana-mana kumpulan gendang import untuk menyokong KL City dalam aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.
Beliau memberitahu, pihaknya ada menerima permohonan daripada kumpulan gendang berkenaan dan meminta berhubung dengan kelab penyokong KL City.
“Bagi saya apabila KL City mengalu-alukan sesiapa sahaja yang mahu menyokong pasukan Kuala Lumpur, itu sikap dan petanda yang positif," katanya.
Semalam, tular dalam media sosial bahawa perlawanan akhir Piala Malaysia antara KL City dan Johor Darul Ta’zim (JDT) akan dimeriahkan dengan kehadiran penyokong ‘import’ iaitu kumpulan gendang Kelantan atau Sep Gende Kelate.
Perkara itu jelas menimbulkan kemarahan kumpulan Ultras Kuala Lumpur atau City Boys yang menyifatkan tindakan itu yang disifatkan sebagai agenda peribadi dalam budaya politik. - DagangNews.com