KUALA LUMPUR 20 Julai - Sebanyak 12,732 buah kenderaan Volkswagen telah dikenal pasti dan perlu menjalani pemeriksaan semula menerusi kempen panggilan semula akibat kerosakan di bahagian kotak gear.
Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) dalam kenyataan hari ini berkata, panggilan semula itu melibatkan model-model yang dihasilkan antara tahun 2011 hingga 2015.
“Kenderaan ini akan dibaiki akumulator tekanan hidraulik di dalam kotak gear klac berkembar 7 kelajuan yang rosak di peringkat pengeluaran.
“Panggilan semula ini tidak melibatkan model dari 2016 dan ke atas. Model-model yang terlibat dan terjejas ialah Beetle, Cross Touran, Golf (Mk6 dan Mk7), Jetta Passat (B7), Passat CC, Polo (6R) dan Scirocco,” jelas kenyataan itu.
Kempen itu akan dijalankan secara berperingkat di seluruh negara tanpa sebarang kos dikenakan ke atas pemilik disamping pemberitahuan secara dalam talian turut dijalankan serta-merta.
Jelas kenyataan itu lagi, kerosakan tersebut mampu menyebabkan hilang daya tekanan sekali gus mengganggu pengalihan kuasa di antara enjin dan kotak gear.
“VPCM telah mengambil langkah sewajarnya dengan rakan pengedar bagi memastikan kebolehdapatan alat ganti, seterusnya membolehkan proses ini dijalankan dengan lancar dan efektif.
“Semua kos buruh dan penggantian alat ganti tidak akan dikenakan ke atas pemilik,” katanya lagi.
Sebagai tambahan, pemilik akan diberi kad keahlian Volkswagen Care Plus (VCP) secara percuma sebagai tanda penghargaan.
Pemilik Volkswagen turut digalakkan untuk melayari laman web atau talian khidmat pelanggan Volkswagen untuk membuat pemeriksaan sama ada kenderaan mereka terlibat atau sebaliknya.
Sementara itu, Pengarah VPCM, Erik Winter berkata, pihaknya memohon maaf di atas kesulitan yang terpaksa dilalui pemilik.
“Kami harap pelanggan faham bahawa kempen ini penting untuk memastikan mereka kekal yakin dengan prestasi kenderaan masing-masing.
“Walaupun kami telah kenal pasti jumlah kenderaan yang terlibat untuk dipanggil semula, bukan semua alat gantinya perlu ditukar tetapi satu tanggungjawab kami untuk memastikan semuanya diperiksa bagi keselamatan dan kepuasan pelanggan,” ujarnya. - DagangNews.com