Kumpulan Megaklinik Zahran, Selcare Nursing jalin kerjasama sedia pakej berpantang kepada ibu bersalin | DagangNews Skip to main content

Kumpulan Megaklinik Zahran, Selcare Nursing jalin kerjasama sedia pakej berpantang kepada ibu bersalin

Gambar dari FB Kumpulan Megaklinik Zahran
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 13 Mac - Kumpulan Megaklinik Zahran (KMZ) dan Selgate Healthcare Sdn. Bhd., melalui anak syarikatnya, Selcare Nursing telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk menyediakan perkhidmatan berpantang dengan pemantauan doktor kepada semua ibu dan anak di Malaysia.

 

Kolaborasi pertama antara kedua-dua entiti ini menyediakan pakej postnatal dengan doktor berpengalaman bagi memantau ibu yang berpantang, samada ada di rumah atau pakej premium Hotel Westin, Kuala Lumpur, demikian menurut satu kenyataan bersama hari ini.

 

Tambahnya, ibu berpantang bukan sahaja dijaga secara tradisional, malah akan dilihat dan dirapi dari segi perubatan moden dan juga alternatif.

 

Kolaborasi antara KMZ dan Selcare Nursing ini bakal memberi manfaat kepada 160,000 pasangan di sekitar Lembah Klang dan Putrajaya.

 

“Dengan kepakaran Selcare Nursing dalam bidang kejururawatan, kami yakin kolaborasi strategik ini mampu pergi lebih jauh dalam perkhidmatan penjagaan selepas bersalin khususnya,” demikian menurut kenyataan tersebut.

             

Melalui Kempen Dr Mama @ Zahran, pusat rujukan 'One Stop Center' ini menyasarkan untuk memberi khidmat nasihat kepada pasang berkenaan perancangan kehamilan, pemeriksaan semasa hamil, penjagaan selepas bersalin, khatan bayi lelaki dan perempuan, vaksinasi anak dan pemeriksaan kesihatan ibu dan bayi.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Megaklinik Zahran, Datuk Mohd Nafidz Abdul Razak turut berkongsi perancangan dan hala tuju kumpulan pada tahun ini melalui 'Zahran On Call' yang akan dilancarkan kelak, di mana perkhidmatan kesihatan boleh didapati secara atas talian khas buat pelanggan KMZ tanpa perlu menunggu lama di kaunter.

 

Berpaksikan ‘Yang Pertama Di Mana-Mana’, KMZ yakin dan komited untuk terus memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik di samping membuka lebih banyak peluang berkolaborasi dan peluang kerjaya dengan pelbagai sektor bagi merancakkan pasaran dan ekonomi Malaysia pada tahun 2023.

 

MoU tersebut telah ditandatangani pada 10 Mac, sempena perasmian Kempen Dr Mama @ Zahran di Ibu pejabat Kumpulan Megaklinik Zahran, Seksyen 9 Bandar Baru Bangi. -DagangNews.com