SHAH ALAM 7 Sept. - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melanjutkan tarikh untuk majikan membuat bayaran caruman wajib daripada 15 haribulan kepada 30 haribulan bagi September 2020 hingga Disember 2020.
"Keputusan untuk meneruskan fleksibiliti ini adalah sejajar dengan pengumuman kerajaan baru-baru ini untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Disember 2020," kata KWSP dalam kenyataan hari ini.
Majikan boleh membuat bayaran caruman melalui portal i-Akaun (Majikan) dalam laman web KWSP, perbankan Internet ataupun di kaunter bank yang dilantik.
KWSP sebelum ini telah pun melanjutkan tarikh bayaran caruman berkenaan bagi April 2020 hingga Ogos 2020, bertujuan untuk meringankan beban majikan berikutan keadaan semasa yang tidak menentu disebabkan pandemik COVID-19. - DagangNews.com