KUALA LUMPUR 8 Sept - Esports Integrated (ESI), sebuah inisiatif untuk memangkin ekosistem yang rancak, mampan dan inklusif oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini mengumumkan pelancaran Liga Esports Malaysia 2022 (MEL22) bermula 12 September hingga 3 Disember 2022.
Edisi kedua pertandingan itu menawarkan hadiah terkumpul berjumlah RM299,500 dengan dua permainan baharu dan kategori pertandingan ditambah kepada tujuh dengan penyertaan orang kelainan upaya (OKU).
MEL22 menyasarkan untuk menyediakan platform yang lebih komprehensif dan inklusif untuk bakat sukan elektronik Malaysia bersaing dan mempamerkan kebolehan mereka.
MEL22 akan dibahagikan kepada tiga siri iaitu Siri MEL22 Regular yang terdiri daripada Liga Negeri MEL22 dan Kebangsaan MEL22 yang menampilkan tiga permainan iaitu Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), PlayerUnknown’s Battleground Mobile (PUBGM) dan Garena Free Fire (FF).
Siri Terbuka MEL22 menampilkan tiga permainan iaitu Dota 2, FIFA23 dan Valorant; dan Para MEL22 (permainan akan diumumkan tidak lama lagi melalui akaun media sosial ESI).
Menerusi kerjasama dengan Moonton, Tencent dan Garena, penerbit masing-masing untuk MLBB, PUBGM dan FF, pemenang dari playoff kebangsaan akan mara ke kejohanan peringkat profesional ESI, Kejohanan Esukan Malaysia 2022/2023 (MEC 2022/2023) dan kemudiannya menjadi penerbit litar profesional sendiri seperti MLBB Pro League Malaysia (MPL), PUBGM National Championship (PMNC) dan FF Malaysia/Cambodia/Philippines Majors (FF MCPS).
Liga Negeri MEL22 akan bermula dari 12 hingga 29 September 2022 dan akan dijalankan secara maya, manakala MEL22 Nationals pula akan bermula dari 1 Oktober hingga 2 November 2022, yang diadakan secara fizikal di ESI Hub, Spacerubix Puchong.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, peminat sukan berkenaan adalah dijemput untuk menyertai MEL22 dan kejohanan itu dijangka menarik jumlah pendaftaran dan tontonan yang besar.
"Penganjuran itu adalah sebahagian daripada usaha meneruskan kejayaan MEL21 apabila lebih 50,000 individu telah mendaftar untuk menyertainya dan meraih hampir 1.2 juta tontonan sepanjang pertandingan," katanya.
MEL22 dianjurkan oleh ESI dengan kerjasama 16 persatuan sukan elektronik negeri dan pendaftaran kini dibuka melalui www.esukan.gg.
Perlawanan akan disiarkan secara langsung melalui Facebook ESI dan KBS. - DagangNews.com