Loji gas Perdiz, Papan milik Coastal Contracts di Mexico capai kapasiti pemprosesan maksimum - TA Securities | DagangNews Skip to main content

Loji gas Perdiz, Papan milik Coastal Contracts di Mexico capai kapasiti pemprosesan maksimum - TA Securities

Loji gas Papan di Mexico - Gambar hiasan dari laman web Coastal Contracts
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Sept - Loji gas Perdiz dan Papan milik Coastal Contracts Bhd di Mexico mencapai kapasiti pemprosesan maksimumnya, menurut TA Securities Bhd (TA Research). 

 

Coastal Contracts merancang untuk meningkatkan jumlah pemprosesan gas mereka susulan perancangan Pamex mengembangkan kapasiti Loji gas Papan diikuti dengan pengubahsuaian Loji Perdiz bagi memasukkan keupayaan pemulihan LPG.

 

Pelan pertumbuhan itu dijangka dimuktamadkan pada awal tahun depan.

 

“Volum pemprosesan gas di kedua-dua Loji Perdiz dan Papan terus meningkat seperti yang dirancang dan kini telah mencapai kapasiti pemprosesan maksimum mereka. 

 

“Loji Papan kini sedang memproses pada kapasiti pemprosesan maksimum iaitu 345 kaki padu standard sehari (mmscfd).

 

“Sementara itu, purata harian Loji Perdiz juga sedang diproses pada kapasiti pemprosesan maksimum 185mmscfd,”  kata TA Research dalam satu nota analisis. 

 

Mengenai bot kerja Teras Conquest 7 (TC7), TA Research pada mulanya menjangkakan TC7 akan menjalani Tinjauan Berkala Khas (SPS) tahun ini, walaupun tiada jangka masa khusus disediakan.

 

Berdasarkan pandangan terkini daripada taklimat penganalisis, tempoh SPS disahkan selama 2.37 bulan, melebihi anggaran awal TA Research iaitu dua bulan.

 

"Kami telah menyemak semula unjuran kadar penggunaan kami yang lebih rendah bagi TC7 kepada 80% daripada 83% untuk FY24.

 

“Perkhidmatan mampatan gas jack-up Coastal (JUGCSU) kekal digantung sementara perbincangan mengenai lanjutan kontrak sedang berjalan.

 

“Pilihan lain bagi JUGCSU ialah menukarnya kepada unit pengeluaran luar pesisir mudah alih (MOPU) dengan kapasiti pengeluaran kira-kira 40,000 tong sehari, beroperasi di medan selama lima tahun. 

 

“Selain pilihan itu, operasi JUGCSU boleh diteruskan di medan yang berbeza selama 5-10 tahun, yang memerlukan pengubahsuaian kerana air berada 20 kaki lebih dalam.

 

“Kami memahami sasaran Pemex untuk memuktamadkan perbincangan dengan penyewa JUGCSU menjelang akhir tahun dan Pemex nampaknya lebih cenderung untuk memilih pilihan pertama.

 

"Kami melihat perkembangan ini secara positif, kerana ia menunjukkan kemungkinan besar pelanjutan kontrak," ujarnya.- DagangNews.com