Mah Sing catat untung bersih RM50 juta dalam suku pertama 2023 | DagangNews Skip to main content

Mah Sing catat untung bersih RM50 juta dalam suku pertama 2023

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 29 Mei - Mah Sing Group Berhad telah mencatatkan kenaikan untung bersih sebanyak 16% kepada RM50 juta pada suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23) berbanding RM43.2 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

Pendapatan kumpulan pada suku dalam tinjauan turut melonjak 48.5% kepada RM643 juta daripada RM433 juta sebelumnya, manakala pendapatan sesaham (EPS) meningkat kepada 2.06 sen daripada 1.78 sen.

 

Menurut kumpulan itu, ia telah mencapai RM600.6 juta jualan hartanah baharu pada 1QFY23 yang meletakkannya di landasan yang baik untuk mencapai sasaran jualan minimum setahun penuh sebanyak RM2.2 bilion.

 

Kumpulan itu berkata pencapaian tersebut disokong oleh momentum kukuh jualan dan tumpuan strategik pada produk mampu milik M-Series.

 

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, kumpulan itu telah memperoleh minat ketara terhadap hartanah yang dilancarkan baru-baru ini yang terjual antara 85 hingga 95%.

 

 

Tan Sri Leong Hoy Kum
Tan Sri Leong Hoy Kum

 

 

Menurut beliau, kumpulan itu aktif menambah semua perbankan tanah, disokong oleh kunci kira-kira sihat dan keyakinan tidak berbelah bahagi dalam pelaksanaan pantas projek-projeknya.

 

“Kami kekal aktif mencari tanah strategik di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor untuk pembangunan hartanah kediaman dan perindustrian. Strategi ini disokong oleh kunci kira-kira yang sihat dan aliran tunai yang kukuh,” katanya.

 

Kunci kira-kira kumpulan itu kekal sihat dengan wang tunai dan baki bank serta pelaburan dalam dana jangka pendek kira-kira RM706.9 juta, sementara penggearan bersih telah bertambah baik kepada 0.20 kali pada akhir Mac 2023.

 

Sementara itu, jualan belum dibilkan berjumlah kira-kira RM2.26 bilion memberikan keterlihatan pendapatan masa hadapan Mah Sing.

 

Berdasarkan segmen pula, segmen pembangunan hartanah kumpulan mencatat keuntungan operasi dan pendapatan masing-masing meningkat 20.4% dan 61.2% kepada RM89.7 juta dan RM514.8 juta disebabkan jualan hartanah lebih tinggi dan pengiktirafan progresif daripada pembinaan yang sedang berlangsung.

 

Manakala segmen pembuatan menyaksikan peningkatan pendapatan sebanyak 6.5% kepada RM114.7 juta berikutan peningkatan jualan palet plastik, alat ganti automotif dan sarung tangan.

 

Kerugian operasi pula mengecil 52.6% kepada RM3.7 juta disebabkan usaha berterusan menambah baik penggunaan loji sarung tangan dan pengurusan kos. -DagangNews.com