KUALA LUMPUR 12 Sept - Majuperak Holdings Bhd. telah menandatangani memorandum persefahaman dengan SPIC Energy Malaysia Bhd., anak syarikat State Power Investment Corp (SPIC) dari China untuk bekerjasama dalam memajukan inisiatif tenaga boleh diperbaharui (RE) dengan memanfaatkan kepakaran SPIC dalam bidang itu.
Perkongsian tersebut bertujuan untuk memanfaatkan pengetahuan dan pengalaman SPIC dalam teknologi RE bagi mempercepatkan penggunaan penyelesaian tenaga mampan.
Shanghai Energy Technology Development Co Ltd (SETD), anak syarikat SPIC, telah melancarkan hasil penyelidikan mengenai perancangan dan prospek loji janakuasa bersepadu, pintar, tanpa impak (3iPP) Malaysia.
Pengarah SETD Zhang Guangyu berkata, 3iPP ialah jenis agregator pengeluaran dan penggunaan RE yang diselaraskan secara dalaman dengan grid kuasa.
“Ia menggunakan sambungan grid kuasa untuk membina agregator pengeluaran dan penggunaan tenaga RE melalui sistem pintar yang mengagregat RE yang diagihkan,” katanya semasa Forum Pembangunan 3iPP China-Malaysia anjuran SETD yang diadakan di sini semalam.
Zhang berkata, bagi fasa pertama ia bermula 2025 hingga 2030 yang mana projek itu melibatkan pembinaan 6,010 megawatt (MW) kapasiti fotovoltaik (PV).
Fasa kedua yang dijadualkan untuk tempoh 2030 hingga 2040 pula menetapkan matlamat untuk mengembangkan kapasiti PV sebanyak 9,338 MW.
Fasa ketiga, bermula dari 2040 hingga 2050 memerlukan pembangunan kapasiti PV 15,135 MW yang besar.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang memuji kerjasama antara SETD dan rakan kongsi Malaysia dalam konteks 3iPP.
Pihak kementerian katanya mengiktiraf usahasama dalam memajukan penyelesaian tenaga yang inovatif dan mengiktiraf potensi manfaat menerusi kerjasama itu pada sektor tenaga.
“Saya amat mengalu-alukan lebih banyak kerjasama pada masa hadapan.
"Ini telah menetapkan peringkat untuk lebih banyak kerjasama ekonomi tetapi tidak terhad kepada kemajuan dalam teknologi angkasa lepas, RE, kecerdasan buatan, data besar dan keselamatan makanan," kata Lih Kang.
Tambah beliau, dengan menggunakan sistem pintar untuk mengintegrasikan pelbagai bentuk tenaga, loji janakuasa itu akan mencapai keselamatan tenaga dan kualiti pembangunan.
Pelan kuasa karbon sifar pintar yang komprehensif sejajar dengan matlamat Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) termasuk pecutan penggunaan tenaga RE, promosi kecekapan tenaga dan memupuk inovasi dalam sistem tenaga.
“Penyelidikan utama mengenai perancangan dan prospek loji janakuasa karbon sifar pintar bersepadu Malaysia ini berfungsi sebagai rujukan yang baik dalam membantu negara untuk menjadi negara bersih-sifar pelepasan gas rumah hijau seawal 2050,” katanya.
Zhang berkata, projek itu akan memanfaatkan pertumbuhan pesat kapasiti tenaga bersih terpasang, dengan kapasiti PV mengalami kadar pertumbuhan tahunan kompaun sebanyak 32%, meningkat daripada 0.27 gigawatt (GW) pada 2015 kepada 1.93 GW pada 2022.
Dengan memperkenalkan konsep 3iPP, Zhang berkata, Malaysia boleh mengurangkan pergantungan kepada arang batu.
Beliau menegaskan bahawa, pada 2022, kuasa arang batu dan enjin pembakaran dalaman menyumbang 77% daripada jumlah kapasiti terpasang negara.
SETD telah berjaya menyiapkan pembinaan kemudahan PV di negara ini dengan kapasiti keseluruhan 90MW. - DagangNews.com