KUALA LUMPUR 14 Julai - Malakoff Corporation Berhad berjaya memuktamadkan kewangan berhubung projek pembinaan tiga loji hidroelektrik kecil di Kelantan dalam dengan nilai RM975 juta menerusi terbitan Sukuk Wakalah SRI Hijau ASEAN.
Sukuk Wakalah SRI Hijau ASEAN akan digunakan untuk membiayai sebahagian projek dengan kapasiti terpasang agregat 84 MW untuk dibangunkan di sepanjang Sungai Galas di Daerah Kuala Krai.
Projek itu akan dibiayai melalui gabungan Sukuk Wakalah SRI Hijau ASEAN dan sumbangan ekuiti pemegang saham berdasarkan nisbah kewangan-ke-ekuiti sehingga 80:20.
CIMB Investment Bank Berhad ialah penasihat kewangan tunggal yang dilantik, penasihat utama tunggal, pengatur utama tunggal dan pengurus utama tunggal bagi Sukuk Wakalah SRI Hijau ASEAN.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, kumpulan itu akan terus menyokong aspirasi tenaga boleh diperbaharui (RE) dengan mempercepatkan peningkatan sasaran kapasiti RE nasional sebanyak 70% menjelang 2050.
Beliau berkata, di bawah Rangka Kerja Kemampanan Kumpulan, Malakoff telah menetapkan sasaran jangka panjang untuk mencapai kapasiti RE sebanyak 1,400 MW menjelang 2031 dengan tumpuan utama dalam segmen solar, hidro kecil dan Waste-to-Energy (WTE).
"Ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk memajukan peralihan tenaga kepada ekonomi rendah karbon, sambil kami memulakan pelepasan sifar bersih menjelang 2050.
"Penjanaan kuasa hidro akan menjadi penting untuk memanfaatkan banyak lembangan sungai di negara ini dengan keadaan hidrogeologi yang sangat baik, yang akan menyumbang dengan ketara kepada pengurangan pelepasan gas rumah hijau," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada 21 Mac 2023, Malakoff memeterai perjanjian bersama Rising Promenade Sdn. Bhd. dan RP Hydro untuk pembangunan, pemilikan dan operasi & penyelenggaraan tiga loji hidroelektrik kecil larian sungai iaitu Loji Tenaga Hidroelektrik Kecil Kemuba, Kuala Geris SHP dan Serasa SHP dengan kapasiti terpasang masing-masing 29 MW, 25 MW dan 30 MW, berjumlah 84 MW.
Beliau berkata, selepas berjaya memuktamadkan kedudukan kewangan, pihaknya boleh memulakan sepenuhnya kerja-kerja pembinaan projek hidro kecil itu.
"Projek ini adalah bukti komitmen kami dalam mengembangkan kehadiran kami dalam ruang penjanaan tenaga bersih kerana loji kuasa hidro telah terbukti sebagai alternatif rendah karbon yang paling bersih, menawarkan pelepasan gas rumah hijau terendah bagi setiap unit tenaga elektrik yang dijana," katanya. - DagangNews.com