Malakoff raih projek pemasangan sistem solar 6 anak syarikat DRB-HICOM | DagangNews Skip to main content

Malakoff raih projek pemasangan sistem solar 6 anak syarikat DRB-HICOM

Gambar hiasan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 13 Julai - Malakoff Corporation Berhad menerusi anak syarikatnya, Malakoff Radiance Sdn Bhd telah menandatangani enam Perjanjian Pembelian Tenaga Solar (SPPA) dengan Kumpulan DRB-HICOM Berhad. 

 

Menerusi SPPA itu, Malakoff Radiance akan membangunkan sistem tenaga solar atas bumbung untuk anak-anak syarikat di bawah DRB-HICOM iaitu CTRM Aero Composites Sdn Bhd, HICOM Automotive Manufacturers (Malaysia) Sdn Bhd, Isuzu HICOM (M) Sdn Bhd, HICOM Teck-See Manufacturing Sdn Bhd, HICOM Berhad serta Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd.

 

Kesemua tenaga solar itu akan dipasang di bawah kontrak Build-Own-Operate-Transfer (BOOT) sebagai sebahagian daripada SPPA yang berjangka masa selama 25 tahun itu. 

 

Selepas tenaga solar dipasang, kesemua kemudahan itu akan menjana tenaga elektrik bersih sehingga 18,836 MWh setiap tahun yang dijangka meneutralkan pelepasan karbon sekitar 13,072 tan setiap tahun dari industri pembuatan.

 

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, pemerolehan projek itu mencerminkan komitmen kumpulan untuk mengembangkan portfolio tenaga yang boleh diperbaharuinya (RE).

 

Beliau yakin bahawa Malakoff berada di landasan tepat untuk meraih peluang pertumbuhan baharu dalam sektor RE memandangkan projek itu merupakan satu lagi langkah besar buat pengembangan kumpulan bagi segmen tenaga solar atas bumbung.

 

Anwar Syahrin Abdul Ajib
Anwar Syahrin Abdul Ajib

 

“Kami mempunyai kapasiti dan keupayaan untuk melancarkan lagi kerjasama dan usaha sama dengan mana-mana entiti perniagaan bagi sistem solar atas bumbung.

 

"Saya optimis terhadap pertumbuhan segmen ini yang kami sedang alami ketika ini, memandangkan banyak syarikat mahu menangani isu global terhadap perubahan iklim,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

 

Usaha Malakoff di dalam pengembangan RE adalah sejajar dengan sasaran kerajaan untuk memenuhi unjuran kapasiti bercampur sebanyak 31% menjelang tahun 2025.

 

Malakoff baru-baru ini juga berjaya meraih projek solar atas bumbung dengan pengendali pusat beli-belah terbesar, AEON Co. (M) Berhad dan pemain industri logistik seperti Northport (Malaysia) Bhd, Johor Port Berhad dan Pos Malaysia Berhad.

 

Jika digabungkan, kesemua projek itu dijangka menjana 33,243 MWh tenaga setiap tahun dengan jumlah kapasiti sebanyak 25,444 kW. - DagangNews.com