KUALA LUMPUR 30 Julai - Malaysia Airlines dan chef berstatus satu bintang Michelin, Darren Chin menjalinkan kerjasama bagi menerbitkan siri dokumentari mengenai citarasa makanan Chiang Mai.
Dokumentari empat episod itu sempena penerbangan sulung Malaysia Airlines ke destinasi terkenal di utara Thailand itu.
Menerusi dokumentari 'Masa untuk Chiang Mai Bersama Chef Darren Chin', penonton dibawa meneroka mengenai lebih mendalam mengenai kulinari Chiang Mai.
Malaysia Airlines berkata, selain keenakan masakan, siri dokumentari itu juga memaparkan keindahan pemandangan dan keunikan budaya Chiang Mai.
"Episod pertama dokumentari itu telah dilancarkan ketika majlis makan malam eksklusif yang diadakan bertempat di Gai by Darren Chin.
"Episod baharu dilancarkan setiap Isnin bermula 29 Julai 2024 manakala episod pertamanya kini boleh ditonton di saluran YouTube Malaysia Airlines," katanya dalam kenyataan hari ini.
Penerbangan sulung Malaysia Airlines dari Kuala Lumpur ke Chiang Mai akan bermula pada 15 Ogos 2024. Menggunakan pesawat Boeing 737-800, Malaysia Airlines terbang ke Chiang Mai sebanyak lima kali seminggu.
Semasa berucap di majlis itu, Ketua Pegawai Komersial Syarikat Penerbangan Malaysia Aviation Group (MAG) Dersenish Aresandiran berkata, permulaan penerbangan Malaysia Airlines ke Chiang Mai menandakan satu peristiwa penting dalam usaha mengukuhkan peranannya sebagai pintu masuk ke Asia dan seterusnya.
"Perkhidmatan baharu ini menandakan destinasi ASEAN ke-16 kami, menekankan komitmen Malaysia Airlines untuk mengembangkan rangkaian, mengalu-alukan pelancong dan memperkayakan pengalaman perjalanan kepada penumpang kami,” jelasnya.
Beliau juga menekankan kerjasama dengan Chef Darren Chin membolehkan Malaysia Airlines mempamerkan kulinari Chiang Mai sambil memberi inspirasi kepada pelancong untuk menerokai destinasi itu.
"Dengan menghubungkan cita rasa dengan perjalanan, kami menyerlahkan kulinari dari hab utama kami di Kuala Lumpur dan Chiang Mai," ujarnya.- DagangNews.com