Malaysia sasar menjana RM75 bilion eksport halal menjelang 2030 | DagangNews Skip to main content

Malaysia sasar menjana RM75 bilion eksport halal menjelang 2030

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) 2024 di MITEC pada 17 Sept 2024 - Gambar hiasan dari Facebook rasmi Tengku Zafrul
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Sept - Malaysia menyasar untuk menjana RM75.2 bilion nilai eksport halal atau 11% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) menjelang 2030, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

 

Nilai eksport halal negara mencecah jumlah RM55 bilion pada tahun lepas, beliau berkata, ia memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara.

 

Daripada jumlah itu, beliau menjelaskan, sektor makanan dan minuman (F&B) halal merupakan penyumbang terbesar dengan nilai eksport RM29.4 bilion.

 

Ini diikuti dengan bahan halal, kosmetik dan produk penjagaan diri termasuk derivatif minyak sawit, industri kimia, dan farmaseutikal.

 

“Walaupun berdepan dengan cabaran ekonomi global, Malaysia kekal di  kedudukan teratas dalam Petunjuk Ekonomi Islam Global (GIEI) 2023.

 

“Pencapaian tahun ke-10 Malaysia menandakan kedudukannya sebagai peneraju industri di peringkat global,” katanya dalam ucapannya di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) 2024.

 

nnn
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz di Mihas 2024 

 

Dalam sektor perkhidmatan, pembiayaan Islam diterima baik dan digunakan secara meluas berdasarkan prinsip perkongsian risiko dan pelaburan berdasarkan nilai Islam seperti keadilan, ketelusan dan tanggungjawab sosial, katanya.

 

Beliau berkata, nilai-nilai itu selaras dengan prinsip Alam Sekitar, Sosial & Tadbir Urus (ESG) yang dipromosikan secara meluas di negara bukan Islam.

 

Dalam memacu agenda pendigitalan eksport, Miti turut menggalakkan syarikat Malaysia, termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mengeksport melalui e-Perdagangan. 

 

“Miti dan Matrade juga menggalakkan pengeksport Malaysia untuk menggunakan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA), termasuk Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) FTA terbesar dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

 

"RCEP dan CPTPP masing-masing membentuk 28% dan 11.5% daripada KDNK global," ujar beliau.

 

Mihas 2024 berlangsung sehingga 20 Sept di Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec).

 

Bertemakan 'Mengglobalkan Inovasi Halal', pameran itu akan diletakkan sebagai platform utama bagi syarikat Halal global untuk mempamerkan produk, perkhidmatan dan teknologi Halal yang paling inovatif mereka melalui 14 kluster.- DagangNews.com