Malaysia-Singapura lancar jalinan pembayaran rentas sempadan mulai Q42022 | DagangNews Skip to main content

Malaysia-Singapura lancar jalinan pembayaran rentas sempadan mulai Q42022

 

 

KUALA LUMPUR 27 Sept. - Bank Negara Malaysia (BNM) dan Monetary Authority of Singapore (MAS) mula menghubungkan sistem pembayaran runcit masa nyata DuitNow di Malaysia dan PayNow di Singapura secara berfasa.

 

Menurut bank pusat dalam kenyataan, fasa pertama jalinan DuitNow-PayNow dijangka bermula pada suku keempat 2022 (Q42022). 

 

Katanya, fasa ini akan membolehkan pelanggan perkhidmatan institusi kewangan peserta membuat pindahan dana secara masa nyata antara kedua-dua negara dengan hanya merujuk nombor telefon mudah alih penerima. 

 

"Pelanggan juga boleh membuat pembayaran runcit dengan mengimbas kod QR DuitNow atau NETS yang dipaparkan di hadapan premis perniagaan. 

 

"Projek ini membolehkan proses pembayaran dibuat dengan lebih lancar antara Malaysia dengan Singapura, terutama bagi tujuan pengiriman wang yang merekodkan jumlah yang besar sebanyak RM4.2 bilion pada 2020," katanya hari ini. 

 

Malah, tambahnya, jalinan itu juga akan memenuhi keperluan pelawat dari kedua-dua negara, yang mencatatkan jumlah ketibaan yang besar iaitu secara purata kira-kira 12 juta setahun sebelum pandemik COVID-19 bermula.

 

Susulan pelancaran ini, BNM dan MAS akan memperluas jalinan DuitNow-PayNow secara berperingkat dengan menambah lebih banyak fungsi pembayaran dan institusi kewangan peserta. 

 

BNM dan MAS juga akan mengkaji kemungkinan untuk menggabungkan ciri-ciri inovatif seperti penyelesaian berasaskan teknologi lejar teragih untuk memangkin kecekapan penyelesaian dan penjelasan pembayaran antara bank peserta.

 

Jalinan DuitNow-PayNow merupakan satu lagi pencapaian penting dalam sejarah hubungan erat antara Malaysia dengan Singapura. 

 

Menurut BNM, jalinan ini sejajar dengan usaha G20 untuk memacu pembayaran rentas sempadan yang lebih pantas, murah, inklusif dan telus. 

 

"Inisiatif ini juga merupakan satu langkah konkrit ke arah mencapai rangkaian jalinan sistem pembayaran masa nyata dalam kalangan negara ASEAN," katanya.

 

Dalam kenyataan itu juga, Penolong Gabenor BNM, Fraziali Ismail berkata, jalinan DuitNow-PayNow akan menjadi pengubah penting untuk menggalakkan perkhidmatan pembayaran yang lebih pantas, murah dan mudah diakses oleh orang ramai di kedua-dua negara melalui pelaksanaan kecekapan yang ditunjukkan oleh pembayaran domestik dalam pembayaran rentas sempadan.

 

"Inisiatif ini bukan sahaja dapat mengukuhkan lagi hubungan ekonomi antara Malaysia dengan Singapura tetapi juga berfungsi sebagai pendorong utama yang menyokong pertumbuhan ekonomi selepas pandemik," jelas beliau.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Fintech MAS, Sopnendu Mohanty berkata, koridor pengiriman wang dengan Malaysia adalah koridor pengiriman wang terbesar di Singapura. 

 

"Oleh itu, jalinan PayNow-DuitNow akan menjadi infrastruktur penting untuk menyokong keperluan pembayaran rentas sempadan bagi individu dan perniagaan, serta kegiatan ekonomi digital yang semakin meningkat antara kedua-dua negara. 

 

"Inisiatif ini akan mengeratkan lagi hubungan dua hala antara Singapura dengan Malaysia," menurutnya. - DagangNews.com