Malaysia, Turkiye bekerjasama tangani isu Islamofobia di peringkat antarabangsa - PM Anwar | DagangNews Skip to main content

Malaysia, Turkiye bekerjasama tangani isu Islamofobia di peringkat antarabangsa - PM Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan bersama Recep Tayyip Erdogan secara maya bagi membincangkan pelbagai isu antarabangsa di sini, malam tadi.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kesungguhan Malaysia untuk bekerjasama dengan Turkiye bagi menangani isu Islamofobia di peringkat antarabangsa.

 

Beliau berkata, gerakan itu bakal dibentuk dan ia sudah dibincangkan menerusi pertemuan secara maya bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dan ia turut dihadiri oleh Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

 

Katanya, Islamofobia adalah sikap permusuhan terhadap Islam, terutama di negara barat dengan Islam dibenci hingga menimbulkan perbuatan seperti tindakan membakar al-Quran di Sweden.

 

"Saya juga menggunakan kesempatan ini untuk maklumkan kepada Presiden Erdogan terkait usaha Malaysia menentang Islamophobia iaitu tindakan membakar Al-Quran di Sweden. 

 

"Saya mengecam sekerasnya tindakan tersebut yang berlindung di sebalik hak kebebasan bersuara yang diagungkan oleh Barat. 

 

"Lantaran itu Malaysia menzahirkan komitmen untuk menyumbang satu juta naskhah Al-Quran di seluruh dunia termasuk 15,000 naskhah dengan terjemahan dalam bahasa Sweden sebagai salah satu usaha untuk menangani kedangkalan pemahaman Barat terhadap Islam. 

 

"Saya juga menyatakan pendirian tegas Kerajaan Perpaduan yang menolak sebarang unsur keganasan serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam keganasan di negara ini," katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook, hari ini.

 

Sementara itu, Perdana Menteri turut mengulangi komitmen pelaburan Malaysia Airport Holdings Berhad sebanyak 200 pound juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (ISGIA).

 

Beliau berkata, Batik Air telah terpilih sebagai operator untuk laluan itu dan penerbangan itu dijangka bermula pada Oktober 2023.

 

Perdana Menteri turut berbincang mengenai kerjasama pertahanan di mana Agensi Industri Pertahanan Turkiye (SSB) telah menghantar delegasi yang besar untuk menyertai Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) baru-baru ini. 

 

"Saya berasa kagum dengan kemajuan teknologi pertahanan Turkiye dan yakin Malaysia bakal mendapat manfaat besar hasil kerjasama erat antara Malaysia - Turkiye.  

 

"Saya bersetuju secara prinsip untuk memuktamadkan Memorandum Persefahaman (MoU)  dalam kerjasama pertahanan pada masa yang terdekat," katanya. 

 

Untuk rekod, jumlah perdagangan dengan Turkiye pada tahun 2022 berjumlah AS$4.62 bilion (meningkat sebanyak 12.6%). 

 

Jumlah lebihan dagangan sebanyak AS$3.33 bilion kerana Turkiye mengimport minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit. - DagangNews.com