KUALA LUMPUR 11 Julai - Malaysian Genomics Resource Centre Berhad (MGRC) menerusi anak syarikatnya, MGRC Healthcare Sdn. Bhd. memeterai perjanjian pembekalan dengan DLF Engineering Pte. Ltd. untuk pengedaran ujian saringan genetik dan perkhidmatan pengeluaran makmal sel di Singapura.
DLF ialah perkhidmatan kejuruteraan terpelbagai dan syarikat pengedaran perdagangan dengan rangkaian rantaian bekalan bersepadu doktor penjagaan kesihatan swasta dan awam, pusat estetik dan kesihatan, serta penyedia insurans dan faedah pekerja di Singapura.
MGRC Healthcare ialah pakar genomik dan biofarmaseutikal dengan rangkaian produk penjagaan kesihatan termasuk ujian saringan genetik, suplemen terkompaun dan perkhidmatan pengeluaran makmal sel untuk sel stem mesenchymal, sel NK, eksosom dan kosmeseutikal berfungsi.
Pengerusi Eksekutif MGRC, Azri Azerai berkata, perjanjian pembekalan dengan DLF berkait rapat dengan strategi kumpulan untuk mempelbagaikan kehadiran dan asas pelanggannya selain berharap dapat melanjutkan kerjasama itu.
“Selain ujian saringan genetik dan produk sel, kami sedang mencari peluang untuk membawa masuk lebih banyak dan mendaftarkan produk tersebut di Singapura bagi mengukuhkan kedudukan kami di negara itu dan seluruh Asia Tenggara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ketua Perkhidmatan Kejuruteraan Penjagaan Kesihatan & Kesejahteraan Kumpulan DLF, Fan Dexter berkata,pihaknya sangat teruja untuk bekerjasama dengan MGRC untuk penerokaan strategik DLF dalam penjagaan kesihatan moden.
"MGRC sedang membina rangkaian di seluruh Asia dan kami gembira menjadi rakan kongsi di Singapura bagi produk dan perkhidmatannya kerana perkongsian ini melengkapkan visi kami dalam menyediakan penajagaan kesihatan kepada semua peringkat usia," katanya.
MGRC pada Mei 2023, memeterai perjanjian kerjasama strategik dengan Toticell Limited, pakar penjagaan kesihatan regeneratif yang berpangkalan di Dhaka. - DagangNews.com