Manifesto Barisan Nasional tepati keperluan rakyat dan negara | DagangNews Skip to main content

Manifesto Barisan Nasional tepati keperluan rakyat dan negara

Calon BN Parlimen Gopeng, Cally Ting bertemu dengan sebahagian daripada pengundi di kawasan itu.
oleh ZAKI SALLEH

IPOH 12 Nov - Manifesto Perancangan Amal Dan Usaha (PADU) Barisan Nasional (BN) untuk Malaysia merupakan manifesto yang paling komprehensif dan mencakupi setiap aspek keperluan rakyat.

 

Ini kerana BN hanya akan menawarkan sesuatu yang jelas terbukti mampu dilaksanakan dan bukan sekadar retorik.

 

Calon BN Parlimen Gopeng, Cally Ting berkata, PADU juga bukan janji bersifat populis sebaliknya pratikal dan adil serta menepati sasaran.

 

"Saya yakin, PADU BN akan diterima baik. Mandat rakyat diperlukan BN bagi melaksanakan satu demi satu pelan tindakan berkenaan dalam lima tahun yang akan datang, untuk kita maju bersama-sama.

 

"PADU merupakan agenda dan pelan konkrit ke arah memastikan kestabilan dan kemakmuran Malaysia dapat dipulih dan kembali kepada landasan," ujarnya.

 

Ujar Cally lagi, rekod serta pencapaian BN semasa menjadi kerajaan sudah terbukti. 

 

"Maka, perkara sama juga akan berlaku sekiranya BN diberikan mandat untuk mentadbir negara selepas PRU15.

 

"Kita perlukan kestabilan dan kemakmuran terutamanya untuk menarik keyakinan pelabur dan masyarakat antarabangsa," jelasnya. - DagangNews.com