MANIFESTO yang ditawarkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini disifatkan sebagai manifesto yang berani, memiliki faktor 'wow' tersendiri dan lamaran cinta terbaik untuk pengundi di seluruh negara.
Penganalisis-penganalisis politik yang dihubungi DagangNews.com berpendapat ia adalah tawaran janji yang diidamkan oleh semua golongan lapisan masyarakat kerana berkait rapat dengan rutin harian serta masa depan pengundi.
Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Dr Muhammad Shamsinor Abdul Azzis berkata, secara peribadi beliau merasakan manifesto kali ini mempunyai banyak faktor 'wow' untuk menarik pengundi PRU-15 dan berupaya mendapatkan sokongan yang baik daripada mereka terutama golongan B40, M40 serta generasi muda.
Menurutnya, BN dilihat mempunyai beberapa perancangan yang baik dalam bidang pendidikan negara seperti asuhan nasional percuma untuk semua kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah, agenda pendigitalan pendidikan, Sistem Persekolahan Tanpa Buku Teks serta tawaran 100 peratus liputan Internet 5G di semua sekolah dalam masa 18 bulan.
"Semua ini sangat ditunggu-tunggu oleh rakyat kerana impaknya sangat besar buat diri mereka disebabkan dapat mengurangkan perbelanjaan terutama dalam aspek asuhan nasional percuma itu.
"Pada dasarnya, pertumbuhan ekonomi kita adalah baik, malah Bank Dunia jangka Malaysia akan catat pertumbuhan ekonomi sebanyak lima peratus pada tahun 2023, cuma agak 'merisaukan' adalah strategi BN untuk mendapatkan sumber bagi melaksanakan semua janji manifesto itu nanti dan keperluan pengurusan negara yang lain," katanya ketika dihubungi DagangNews.com hari ini.
Tambahnya, kebimbangan itu adalah berasas susulan situasi ekonomi dunia hari ini serta konflik Rusia-Ukraine yang makin meruncing, maka kemampuan kerajaan baharu untuk merealisasikan manifesto idaman tersebut dilihat agak sukar dan berliku.
"Kita bimbang jika manifesto sebaik ini sekiranya tidak dapat dilaksanakan kerana kekangan tertentu, ia akan menjadi 'backfire' kepada BN pula.
"Keseluruhannya, saya melihat manifesto ini adalah lamaran cinta terbaik daripada BN untuk pengundi dan semoga ia dapat dipenuhi kerana sangat bermanfaat untuk rakyat Malaysia," katanya.
Pengumuman manifesto BN yang dinamakan Perancangan Amal dan Usaha BN (PADU) itu menggariskan lima fokus utama dan 99 tawaran yang akan dinikmati pelbagai golongan masyarakat terutamanya kumpulan B40 dan M40 selain tidak melupakan golongan T20.
Senada dengan beliau ialah Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin yang menyifatkan manifesto itu adalah untuk membina kepercayaan masyarakat terhadap kemampuan BN dalam menyelesaikan isu-isu yang sedang dihadapi oleh rakyat ketika ini.
Menurutnya, antara perkara yang boleh dilihat membina impak kepercayaan masyarakat terhadap kepemimpinan BN adalah melalui Skim Bantuan Pendapatan Asas yang dikreditkan secara automatik setiap bulan kepada semua isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM2,208 sebulan.
"Begitu juga dengan tawaran diberi dalam bidang pendidikan seperti sistem persekolahan tanpa buku teks dan memperkenalkan bahasa-bahasa komunikasi asas yang lain seperti Mandarin, Tamil, Iban, Kadazan, Dusun dan etnik yang lain kerana dapat menyatupadukan masyarakat negara ini dengan lebih erat lagi.
"Sistem pendigitalan dengan mengubah kaedah sistem pembelajaran anjal di universiti dan penghargaan untuk golongan wanita melalui pemotongan cukai dan inisiatif untuk kembali bekerja selepas melahirkan anak juga adalah bagus dan mempunyai impak yang besar.
"Cuma kita berharap ia akan dilaksanakan sekiranya BN diberi mandat membentuk kerajaan nanti bukan sekadar memancing undi masyarakat, malah ia harus dijelaskan secara terperinci oleh calon-calon BN bagaimana ia akan dilaksanakan supaya dapat membentuk keyakinan, sokongan dan kepercayaan daripada pengundi sepanjang tempoh kempen berjalan," katanya.
Sementara itu, Penganalisis politik Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr Azmi Hassan berkata BN sangat berani kerana menawarkan tiga janji yang sepatutnya ditawarkan blok pembangkang kerana itu yang diperjuangkan selama ini.
Tiga perkara itu ialah pelantikan Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melalui saringan jawatankuasa khas Parlimen dan pemberian kerakyatan kepada bayi yang dilahirkan wanita warganegara Malaysia di luar negara.
Menurutnya, pemilihan dua jawatan utama melalui Parlimen bermaksud Perdana Menteri tidak akan berkuasa lagi dalam perkara itu manakala pemberian kerakyatan bayi itu pula akan memberi kelegaan kepada keluarga yang terlibat.
"Bagi saya agak menakjubkan tiga perkara ini disertakan dalam manifesto BN jika menjadi kerajaan.
"Saya lihat tiga janji ini adalah reformasi struktur dalam organisasi negara yang amat penting dan ia memerlukan sedikit perubahan dalam perlembagaan. Ia adalah cadangan dan tindakan yang berani dari BN," katanya.
Bagi Pensyarah Kanan & Ketua Pusat Pengajian, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media Universiti Teknologi Mara Kampus Kuala Terengganu, Ts. Dr. Mohd Talmizie Amron pula, semua tawaran pendidikan dalam manifesto BN adalah sangat tepat pada masanya.
"Capaian kepada akses internet yang berterusan dan mudah adalah sangat penting di sekolah kerana maklumat tidak hanya seperti yang tercatat dalam sukatan pelajaran atau silibus sahaja, tetapi melangkaui sempadan masa dan tempat.
"Oleh itu, digitalisasi dalam pendidikan harus dipercepatkan bagi memastikan transformasi pendidikan menerusi ekosistem dan keupayaan ICT diperkukuhkan.
"Usaha ini akan mempermudahkan akses maklumat dan bahan pembelajaran terkini dikalangan pelajar malah bakal mengurangkan isu beg sekolah yang besar.
"Tidak ketinggalan, tawaran pendidikan percuma peringkat pengajian tinggi kepada golongan B40 memberikan peluang untuk lebih ramai golongan tersebut sama ada di bandar mahu pun luar bandar untuk mendapatkan akses pendidikan yang lebih baik, yang sebelum ini terhalang kerana masalah kewangan.
"Selain itu, bagi pelajar yang menjalani latihan praktikal, usaha untuk mewajib elaun dibayar oleh majikan adalah langkah terbaik bagi memastikan sumbangan pelajar semasa menjalani latihan turut dihargai dan sekali gus menghapuskan eksploitasi majikan terhadap pelajar pelatih," katanya. - DagangNews.com