Manipulasi orang tengah dalam rantaian pemasaran punca kenaikan harga barang | DagangNews Skip to main content

Manipulasi orang tengah dalam rantaian pemasaran punca kenaikan harga barang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 7 Dis - Kehadiran orang tengah yang bertindak memanipulasi harga dalam rantaian pemasaran menjadi punca kenaikan harga barangan bagi sumber pertanian dan penternakan di pasaran.

 

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, industri pertanian mencatatkan peningkatan pengeluaran sebanyak 30% namun penglibatan orang tengah memberi kesan buruk kepada pengguna.

 

Beliau berkata, situasi itu menyebabkan pengguna terpaksa menanggung kesan apabila barangan sampai kepada mereka dengan peningkatan harga melebihi 100%.

 

"Antara cabaran dalam industri pertanian dan penternakan hari ini antara lain adalah disebabkan pembabitan orang tengah yang memainkan peranan dalam semua subsektor.

 

"Kita lihat ada peningkatan harga 20 ke 30 % dalam sektor pengeluaran tetapi harga di pasaran meningkat melebihi 100 peratus. 

 

"Ini bermakna terdapat unsur rantaian pemasaran dimanipulasi oleh pihak tertentu," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) ke 36,di sini hari ini, lapor Berita Harian.

 

Ronald berkata, perkara melibatkan orang tengah itu bukan mudah untuk ditangani kerana ia sudah slama dibangkitkan.

 

"Ia sudah lama terjadi malah dalam pengajian pentadbiran perniagaan, isu orang tengah ini dibangkitkan dalam setiap pemasaran, kewujudannya mereka tidak boleh dinafikan.

 

"Bukan sesuatu yang mudah untuk kementerian lakukan (hapuskan) pembabitan orang tengah ini tetapi kita mempunyai pelbagai inisiatif khususnya pemasaran secara 'e-commerce' yang kini dipergiatkan oleh MAFI," katanya.

 

Beliau berkata, ketika ini, MAFI menggalakkan setiap pertumbuhan platform e-dagang yang bukan sahaja memperkenalkan konsep perniagaan kepada perniagaan malah perniagaan kepada pelanggan yang boleh memberi manfaat secara terus kepada pengguna.

 

"Ini juga antara langkah yang akan dipergiatkan MAFI untuk mengurangkan kenaikan harga dalam pasaran.

 

"Kami juga meminta setiap petani atau penternak untuk bersedia dengan pemasaran sebegini, yang dilihat amat berpotensi untuk membantu industri pertanian negara," katanya. - DagangNews.com