Mardi jalin kerjasama dengan UGM bangunkan penyelidikan teknologi pertanian pintar | DagangNews Skip to main content

Mardi jalin kerjasama dengan UGM bangunkan penyelidikan teknologi pertanian pintar

Ketua Pengarah Mardi, Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani (dua dari kanan) dan Timbalan Predisen II UGM, Prof. Datuk Mazrin Rohizaq Che Rose (dua dari kiri) bertukar MoU, disaksikan oleh Naib Canselor UGM, Prof Datuk Dr. Elias Saleh (kiri) dan Pengarah Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Mardi, Dr Ahmad Safuan Bujang (kanan).
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Sept - Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Geomatika Malaysia (UGM) bagi mengukuhkan bidang penyelidikan teknologi dalam pertanian pintar. 

 

Perkongsian itu juga akan memanfaatkan penggunaan aplikasi geomatik, penderiaan jauh, sistem maklumat geografi (GIS) dan teknologi dron bagi membangunkan penyelidikan itu. 

 

Mardi berkata, kerjasama itu dijangka akan membuka jalan dalam pelaksanaan penyelidikan bidang bioteknologi, nanoteknologi, sains makanan dan teknologi makanan yang menjadi salah satu keutamaannya dalam menyokong aspek keterjaminan dan keselamatan makanan negara.

 

“Memorandum ini juga akan membuka ruang yang lebih luas kepada kedua-dua belah pihak untuk menggunakan sumber dan kemudahan penyelidikan seperti makmal, instrumentasi dan plot penyelidikan bagi memberi latihan, kemahiran dan memberi peluang kepada pelajar-pelajar UGM mendapatkan pengalaman amali. 

 

“Menerusi perkongsian ini, Mardi dan UGM bersetuju untuk mengadakan lebih banyak latihan pelajar, kursus jangka pendek, sangkutan kerja dan penyelidikan akademik. 

 

“Inisiatif ini akan membantu melahirkan sumber manusia dan tenaga kerja dalam bidang penyelidikan dan teknologi pertanian,” ujarnya dalam kenyataan hari ini. 

 

MoU itu dimeterai sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan AgroPelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di Laman Jentera MAHA 2024, Serdang, Selangor. 

 

Majlis Pertukaran MoU itu disempurnakan oleh Ketua Pengarah Mardi, Datuk Mohamad Zabawi Abdul Ghani dan Timbalan Predisen II UGM, Prof Datuk Mazrin Rohizaq Che Rose.  

 

Hadir sama menyaksikan majlis itu termasuk Naib Canselor UGM Prof Datuk Dr. Elias Saleh dan Pengarah Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Mardi, Dr Ahmad Safuan Bujang.- DagangNews.com