Masih 'kabur' dengan butiran RP3, MIDF Research jangka TNB catat pertumbuhan mendatar bagi FY22 | DagangNews Skip to main content

Masih 'kabur' dengan butiran RP3, MIDF Research jangka TNB catat pertumbuhan mendatar bagi FY22

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 31 Jan - MIDF Research berpandangan 'neutral' terhadap prospek Tenaga Nasional Bhd. (TNB) memandangkan parameter bagi tempoh Regulatori Ketiga (RP3) yang masih terhad ketika ini. 

 

Penganalisisnya, Hafriz Hezry berkata, kepentingan utama ialah kadar pulangan terkawal baharu di bawah RP3, pertumbuhan asas aset terkawal (RAB) dan juga andaian terhadap kos bahan api utama. 

 

"Jika dilihat semula, kami menjangkakan RAB akan mencerminkan peningkatan perbelanjaan modal grid bagi peralihan tenaga dan memperkukuhkan rangkaian pengedaran kepada keperluan infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV) yang semakin meningkat. 

 

"Di bawah tempoh RP2, RAB dianggar berkembang pada kadar purata tahunan sebanyak 4.5%," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Pada Jumaat, Suruhanjaya Tenaga mengumumkan kadar tarif elektrik semasa kekal tidak berubah bagi RP3 (2022-2024). 

 

Bagaimanapun, dari segi Pelepasan Kos Bahan Api Tidak Seimbang (ICPT) separuh tahun, pengguna bukan domestik akan dikenakan caj 3.7sen/kwh mulai 1 Februari hingga 30 Jun 2022 (berbanding 2sen/kwh sebelum ini). 

 

Ini berikutan berlaku peningkatan dalam kos bahan api dan kos penjanaan lain sebanyak RM1.67 bilion ekoran daripada kenaikan harga arang batu yang tinggi di pasaran sehingga mencecah AS$200 per tan.

 

Suruhanjaya Tenaga berkata, bagi mengekalkan pemberian rebat dan tanggungan kos surcaj ICPT sepenuhnya kepada semua pengguna domestik, kerajaan memperuntukkan dana Kumpulan Wang Industri Elektrik sebanyak RM715 juta untuk menanggung kos tersebut.

 

Menurut Hafriz, memandangkan kadar tarif di bawah RP3 kekal tidak berubah, persoalan yang dibangkitkan terutamanya sama ada terdapat perubahan kepada andaian campuran pelanggan yang boleh membawa kepada perubahan kepada harga rujukan. 

 

"Sekiranya harga rujukan kekal tidak berubah, adakah sama ada RAB yang lebih tinggi diterjemahkan kepada pendapatan terkawal yang lebih tinggi bagi TNB (bergantung kepada kos purata wajaran modal terkawal di bawah RP3). 

 

"Jika RP3 sememangnya memerlukan pendapatan terkawal (mutlak) yang lebih tinggi untuk TNB, yang mana elemen ini akan melaraskan keperluan hasil TNB," jelasnya. 

 

Memandangkan butiran mengenai perincian RP3 yang terhad ini, beliau tidak membuat sebarang perubahan kepada unjuran TNB. 

 

"Kami setakat ini mengekalkan pandangan konservatif dan menjangkakan pertumbuhan mendatar bagi pendapatan TNB pada tahun kewangan 2022 (FY22). 

 

"Harga sasaran kami juga tidak berubah pada RM9.55 sesaham (kadar purata wajaran modal : 8.7%)," katanya. 

 

Setakat 10.19 pagi ini, harga saham TNB menokok 5 sen atau 0.55% kepada RM9.16 dengan 541,300 saham diniagakan. - DagangNews.com