Mastercard, The Asia Foundation lancar Striver's Hub, sasar bantu usahawan PMKS wanita kembangkan perniagaan | DagangNews Skip to main content

Mastercard, The Asia Foundation lancar Striver's Hub, sasar bantu usahawan PMKS wanita kembangkan perniagaan

Presiden Bahagian, Mastercard Asia Tenggara, Safdar Khan;Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Hajah Nancy Shukri; Perwakilan Negara, The Asia Foundation, Dr Robin Bush; Pengurus Mastercard Negara, Malaysia dan Brunei, Beena Pothen; Naib Presiden, Asia Pasifik, Pusat Pertumbuhan Inklusif, Mastercard, Subhashini Chandran dan Pengerusi MMOB Ltd, Arsalaan Ahmed.
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Mastercard Centre for Inclusive Growth menjalinkan kerjasama dengan The Asia Foundation bagi melancarkan The Strivers' Hub, sebuah platform digital khusus bagi meluaskan peluang pertumbuhan bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Malaysia, dengan tumpuan kepada usahawan wanita. 

 

Menerusi Striver's Hub, PMKS milik usahawan wanita ditawarkan pelbagai perkhidmatan bagi mengembangkan perniagaan mereka termasuk program peningkatan kemahiran digital, peluang bimbingan dan sumber penting untuk mengakses skim kredit dan kewangan. 

 

Menurut kenyataan media Mastercard dan The Asia Foundation, Striver's Hub melengkapkan usaha sedia ada kerajaan dan menyokong usahawan wanita dalam menangani cabaran dalam menjalankan perniagaan kecil antaranya mendirikan hab pengetahuan merangkumi pelbagai topik seperti transformasi digital. 

 

"Selain itu, Striver's Hub juga menawarkan peluang untuk berhubung dengan industri profesional yang boleh memberikan bimbingan dan sokongan serta peluang menjalin dan membina hubungan dengan usahawan lain, pakar industri dan rakan kongsi perniagaan yang berpotensi untuk memupuk kerjasama dan perkongsian pengetahuan," ujarnya dalam kenyataan itu. 

 

Strivers’ Hub  dibina atas inisiatif Mastercard Strive Malaysia yang bertujuan mengukuhkan perniagaan kecil negara. Dilancarkan oleh Mastercard Centre for Inclusive Growth, dengan kerjasama The Asia Foundation pada 2023, inisiatif tempatan ini menyasarkan 100,000 PMKS – terutamanya perniagaan milik wanita dan diterajui wanita – menjelang 2025.

Inisiatif Striver's Hub juga mendapat sokongan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWPM) melalui agensinya, Jabatan Pembangunan Wanita (JPW).

 

Presiden Bahagian Asia Tenggara Mastercard, Safdar Khan menekankan pelbagai cabaran unik dihadapi oleh usahawan wanita di Malaysia dalam memulakan dan membina suatu perusahaan. 

 

"Striver's Hub menawarkan sokongan kepada usahawan wanita kerana penting untuk meningkatkan pertumbuhan dan membina ekonomi digital yang lebih inklusif buat golongan Wanita. 

 

"Mastercard komited secara global untuk membantu usahawan wanita untuk berjaya, menerusi inisiatif ini dengan kerjasama dengan The Asia Foundation adalah penting untuk mewujudkan ekosistem PMKS yang lebih mudah diakses, teguh dan dinamik di mana-mana sahaja," ujar beliau. 

 

Wakil Negara, The Asia Foundation, Dr Robin Bush, turut menekankan kepetingan Strivers' Hub bagi menyediakan sokongan yang disasarkan buat golongan wanita.

 

"Peranan usahwan wanita adalah kritikal kerana mereka juga merupakan tulang belakang kepada sektor ekonomi namun mereka sering menghadapi pelbagai cabaran dan halangan yang ketara," ujar beliau.- DagangNews.com