MATTA minta kerajaan lanjutkan lagi moratorium selamatkan industri pelancongan | DagangNews Skip to main content

MATTA minta kerajaan lanjutkan lagi moratorium selamatkan industri pelancongan

KUALA LUMPUR 13 Julai - Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) meminta kerajaan melanjutkan lagi tempoh moratorium selama enam bulan untuk membantu menghidupkan semula industri pelancongan.

Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang berkata, permintaan itu wajar dipertimbangkan kerana sektor itu adalah antara penyedia pekerjaan yang utama dan penyumbang penting kepada ekonomi negara.
 

Tan Kok Liang
Tan Kok Liang


Menurut beliau, industri pelancongan dan perjalanan terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 dan kajian menunjukkan ia hanya akan pulih daripada krisis semasa jauh lebih perlahan berbanding sektor lain dalam ekonomi Malaysia.

Malah pada 6 Julai lalu kata beliau, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi kenyataan bahawa industri pelancongan memerlukan empat tahun untuk pulih.

"Ramai peserta pelancongan mengalami kemerosotan pendapatan sejak Mac 2020 susulan kemelesetan dan pengangguran. Bergantung semata-mata kepada pelancongan domestik sahaja tidak mencukupi untuk mengekalkan perniagaan dan individu yang bekerja dalam industri ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kok Liang berkata, ketidakmampuan industri untuk membayar semula pinjaman mereka adalah disebabkan oleh peraturan yang ketat dan permintaan yang lemah.

Menurut beliau, peminjam individu yang bekerja dalam industri hospitaliti dan pelancongan juga harus diberi lanjutan moratorium enam bulan lagi kerana ramai yang menghadapi pemotongan gaji, cuti tanpa gaji atau diberhentikan.

"Ramai yang tidak memiliki kemampuan untuk membayar balik pinjaman mereka dalam keadaan tertekan dan kadar pengangguran meningkat dengan cepat," katanya.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menganggarkan kerugian yang dialami oleh industri pelancongan dan budaya bernilai RM45 bilion dari segi perbelanjaan pelancongan dan kira-kira satu juta pekerja dalam industri pelancongan di Malaysia dijangka hilang pekerjaan mereka tahun ini.

Kok Liang berkata, ketidakupayaan industri pelancongan secara kolektif untuk membayar hutangnya adalah disebabkan oleh tekanan luaran yang di luar kawalannya.

Dalam hal ini ujar beliau, industri mendesak kerajaan untuk mengambil tindakan proaktif supaya campur tangan daripada menyerahkan keputusan kepada institusi perbankan swasta yang akan membuat keputusan berdasarkan syarat penilaian risiko industri dan memaksimumkan kekayaan pemegang saham.

"Kerajaan bersama dengan Bank Negara Malaysia harus membantu. Diharapkan kerajaan dan badan yang berkaitan akan menjadikan perkara ini sebagai keutamaan dan meneliti permintaan penting ini demi memastikan pemulihan industri perjalanan dan pelancongan Malaysia," ujarnya. - DagangNews