KUALA LUMPUR 6 Sept - Maxis akan mempercepatkan penggunaan awan bagi perniagaan di Malaysia melalui Maxis Business dengan memanfaatkan Amazon Web Services (AWS).
Maxis menjelas, pelanggannya boleh memanfaatkan perkhidmatan awan dengan lebih yakin kerana residensi data tempatan akan membenarkan migrasi data serta beban kerja mereka ke awan secara lancar dan selamat.
“Infrastruktur tempatan ini membolehkan operasi awan yang lebih cepat dan dipercayai, memberikan perniagaan di Malaysia keupayaan untuk memanfaatkan pelbagai penggunaan canggih seperti kecerdasan buatan (AI), AI generative (GenAI) dan analitik berskala besar,” ulas Maxis.
Maxis turut berkata, sebagai satu-satunya syarikat telekomunikasi di Malaysia yang memegang status AWS seperti 'Advanced Tier Services Partner' dan 'Direct Connect Partner', ia mempunyai kelebihan yang unik untuk membantu migrasi perniagaan ke awan.
Di bawah program Cloud Mover Maxis, yang tersedia sehingga 30 November 2024, pelanggan Maxis Business yang memilih untuk beralih ke awan akan mendapat manfaat daripada migrasi percuma dan sehingga RM10,000 dalam bentuk kredit dengan 6 bulan Direct Connect.
Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Goh Seow Eng mengulas, Penubuhan AWS Region di negara ini akan memangkin penerimagunaan digital kerana pelanggan akan memanfaatkan daripada peningkatan dalam keselamatan kedaulatan data tempatan.
Selain itu, sebagai sebuah AWS Direct Connect Partner, Maxis berkata, ia boleh melengkapi pelanggan dengan ketersambungan rangkaian persendirian langsung ke persekitaran awan AWS yang berkependaman rendah.
“Selain memperkukuh daya tahan dan keselamatan, kesalinghubungan langsung membolehkan pengoptimuman berterusan merentas persekitaran rangkaian dan awan pelanggan.
“Keupayaan ini melengkapkan perkhidmatan rangkaian terurus hujung ke hujung Maxis Business yang memudahkan pelanggan dalam mengguna pakai dan menguruskan penyelesaian ketersambungan dan digital.
“Perkhidmatan terurus tersebut termasuk keselamatan siber, awan, rangkaian persendirian dan internet kebendaan (IoT), serta rumusan kesalinghubungan tetap dan mudah alih,” ujar Maxis.
Selain memacu penyelesaian berasaskan awan, Maxis komited untuk memperkenalkan kes penggunaan inovatif yang dikuasakan oleh 5G-Advanced (5G-A) dan 5G untuk mempercepat penerimagunaan digital di pelbagai sektor serta penyelesaian Bandar Pintar 5G-A.
Baru-baru ini, Maxis telah memperkenalkan platform semua-dalam-satu pertama di Malaysia bagi rangkaian 5G, pengkomputeran pinggir dan perkhidmatan awan.- DagangNews.com