KUALA LUMPUR 24 Julai - Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengunjurkan 7-Eleven Malaysia Holdings Berhad akan lebih fokus kepada perniagaan kedai sebanekanya dengan menukar lebih banyak cawangan kepada 7 Cafe.
Firma itu berkata, langkah itu adalah antara usaha untuk memberikan penawaran produk yang lebih baik selain meningkatkan kehadiran pelanggan menerusi penawaran makanan segarnya.
Katanya, terdapat lebih 138 kedai berkonsep 7 Cafe pada akhir Mei 2023.
"Kumpulan itu menyasarkan untuk membuka 50 kedai 7 Cafe baharu dan mengubahsuai 122 kedai sedia ada kepada format sama pada tahun ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, kumpulan itu mengumumkan bahawa Convenience Shopping (Sabah) Sdn. Bhd. telah menerima tawaran daripada BIG Pharmacy Healthcare Sdn. Bhd. untuk mengambil alih keseluruhan 75% kepentingan ekuitinya dalam Caring Pharmacy Group Berhad dengan tawaran RM637.5 juta.
Kumpulan itu berkata, tawaran itu merangkumi pengambilalihan semua anak syarikat dan syarikat bersekutu Caring yang memiliki dan megendalikan perniagaan farmasi runcit di bawah jenama Caring, Georgetown dan Wellings serta pembuatan selain pengedaran produk dalaman di Malaysia.
BACA JUGA: 7-Eleven sah lepaskan pegangan ekuiti Caring Pharmacy kepada BIG Pharmacy
Tawaran itu juga merangkumi pengambilalihan harta intelek yang dimiliki Caring Group dan perniagaan Indonesia merangkumi semua jenama di bawah Caring Group.
Firma itu mengemak turun penarafan kumpulan itu kepada 'jual' berbanding 'pegang' degan harga sasaran (TP) RM1.90 sesaham. - DagangNews.com