KUALA LUMPUR 11 Julai - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menjangkakan prospek pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) bertambah baik apabila memasuki tempoh pengeluaran puncak pada separuh kedua tahun ini.
Firma itu berkata, jangkaan pemulihan pengeluaran di Malaysia pada separuh kedua juga berdasarkan kemasukan tenaga kerja baharu sejak akhir 2022.
Katanya, keadaan cuaca pada Jun baru-baru ini di Amerika Syarikat (AS) telah menaikkan harga minyak pesaing (didagangkan sepanjang suku kedua 2023 setanding harga MSM).
"Perkembangan cuaca di AS, Malaysia dan Indonesia akan dipantau dengan teliti oleh pasaran kerana ia akan terus memacu turun naik harga dan penemuan harga baharu untuk MSM dan minyak sayuran lain.
"Pada masa ini, harga MSM didagangkan pada diskaun besar kepada soya AS tetapi masih di bawah purata sejarah berbanding soya Argentina di Rotterdams dan minyak rapeseed di Jerman.
"Tinjauan makroekonomi global yang rapuh akan terus dilihat sebagai halangan untuk harga MSM dalam jangka masa terdekat, mengehadkan kenaikan harga MSM," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, stok minyak sawit Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada Jun lalu adalah lebih lemah daripada jangkaan berdasarkan pengeluaran yang lemah tetapi penggunaan domestik yang kukuh.
Katanya, jangkaan kenaikan bermusim dalam keluaran separuh kedua akan terus mengekalkan harga MSM dalam tempoh terdekat
"Harga MSM yang sihat sekarang berbanding minyak sayuran pesaing yang lain diperlukan untuk membantu merangsang permintaan pada separuh kedua tahun ini," katanya.
Firma itu kekal neutral buat sementara waktu namun masih memantau perkembangan cuaca pada Julai dan Ogos.- DagangNews.com