Maybank IB unjur kenaikan OPR, kos bahan mentah tidak menentu pengaruhi harga saham hartanah | DagangNews Skip to main content

Maybank IB unjur kenaikan OPR, kos bahan mentah tidak menentu pengaruhi harga saham hartanah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Julai - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menjangkakan faktor luaran seperti kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) dan kos bahan mentah yang tidak menentu terus mempengaruhi saham hartanah.

 

Firma itu berkata, bagaimanapun kelemahan ringgit mungkin menarik minat belian dari luar dan ia akan memberi manfaat kepada segmen hartanah industri dengan lebih ketara berbanding segemen kediaman.

 

Katanya, pemaju hartanah memulakan separuh pertama 2023 dengan jualan yang memberangsangkan.

 

"Sejumlah 53% daripada pemaju hartanah tempatan di bawah liputan kami melaporkan jualan yang lebih kukuh daripada jangkaan dalam tempoh tersebut manakala selebihnya berada dalam jangkaan.

 

"Segmen hartanah perindustrian kekal menjadi tumpuan berikutan peningkatan aktiviti e-dagang, pelaburan dari China di tengah-tengah ketegangan AS-China yang meningkat dan bekalan hartanah perindustrian yang terhad," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, projek infrastruktur mega (contohnya potensi memulihkan kereta api laju (HSR) KL-Singapura dan juga projek Bandar Malaysia) mungkin diumumkan selepas pilihan raya negeri.

 

Katanya, projek itu mungkin menyediakan beberapa peluang perdagangan kepada pemilik tanah tersenarai di sepanjang landasan HSR seperti Sime Darby Property Berhad (tanah di Pagoh dan Labu) dan UEM Sunrise Berhad (tanah di Iskandar Malaysia).

 

"Ekovest Berhad yang 31% daripadanya dimiliki oleh Tan Sri Lim Kang Hoo, juga boleh menjadi tumpuan untuk terlibat dalam projek Bandar Malaysia," katanya.

 

Firma itu kekal dengan saranan neutral terhadap sektor itu.- DagangNews.com