MDEC buka permohonan untuk tiga geran digital 2024 | DagangNews Skip to main content

MDEC buka permohonan untuk tiga geran digital 2024

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 9 Sept - Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) membuka permohonan untuk tiga geran utama iaitu Geran Kandungan Digital (DCG) bagi sesi 2024/2025, Geran Pemangkin Digital Malaysia (MDCG) dan Geran Eksport Digital Malaysia (MDXG). 

 

Geran yang tersedia mulai hari ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan MADANI untuk meningkatkan ekonomi digital Malaysia.

 

Menurut satu kenyataan hari ini, MDEC berkata, DCG memainkan peranan penting dalam menyokong syarikat kandungan kreatif Malaysia, membolehkan pembangunan, pengeluaran dan pengkomersilan kandungan digital merentas pelbagai sektor, termasuk animasi, permainan digital, komik digital dan teknologi kreatif.

 

"Terdapat tiga jenis geran di bawah DCG, iaitu geran mini yang menawarkan jumlah siling RM150,000 bagi setiap penerima. Selain itu, geran perdana yang memberi RM500,000 kepada penerima geran. Akhir sekali, geran pemasaran & pengkomersialan yang memberikan dana dengan jumlah siling RM300,000 bagi setiap penerima geran," ujar MDEC.

 

Selain itu, MDEC turut menjelaskan, pemohon yang layak untuk geran mini adalah syarikat kandungan digital tempatan, perusahaan, pemilikan tunggal, perkongsian dan perkongsian liabiliti terhad.

 

Sebaliknya, geran perdana dan pemasaran & pengkomersialan tersedia untuk mana-mana syarikat tempatan yang diperbadankan di Malaysia dengan minimum 51% warganegara Malaysia, modal saham terbitan RM20,000 dan dengan Status Digital Malaysia (MD) dan/atau Status Koridor Raya Multimedia (MSC). 

 

Di samping itu, MDEC berkata, Geran Pemangkin Digital Malaysia (MDCG) menawarkan sehingga RM1 juta atau 50% daripada kos projek bagi memacu inovasi dalam sektor digital Malaysia. 

 

"Geran tersebut menumpukan pada rumusan berskala bagi menyokong projek dalam Sektor Digalakkan Digital Malaysia (MD) sehingga satu tahun.

 

"Sejak 2021, MDCG telah dianugerahkan kepada 59 syarikat yang membawa kepada kemajuan seperti sistem pengurusan kecacatan berasaskan awan dan pelan sumber pembuatan yang meningkatkan operasi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS)," ulas MDEC.

 

Menurut MDEC, Geran Eksport Digital Malaysia (MDXG) turut menawarkan sehingga RM1 juta atau 50% daripada kos projek bagi mengembangkan syarikat Malaysia ke peringkat global melalui aktiviti teknologi bernilai tinggi. 

 

"Dengan tempoh projek sehingga satu tahun, MDXG telah memudahkan pertumbuhan antarabangsa, termasuk mempromosikan syarikat tempatan tempatan dengan aplikasi kenderaan elektrik berasaskan blockchain di seluruh Asia Tenggara dan menggunakan penyelesaian internet kebendaan (IoT) berkuasa rangkaian 5G untuk perlindungan ATM di pasaran global.

 

MDCG dan MDXG tersedia secara eksklusif kepada syarikat tempatan atau milik asing dengan status MD.

 

Sementara itu, MDEC menggalakkan syarikat yang masih belum mencapai status MD untuk mendapatkan pengiktirafan itu kerana syarikat bolej memperoleh akses keutamaan kepada rangkaian sokongan komprehensif MDEC, keterlihatan yang lebih besar dalam ekonomi digital dan mengembang dalam ekosistem digital Malaysia.- DagangNews.com