Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 15 Dis - Mesyuarat Majlis Air Negara (MAN) memberi pertimbangan dan bersetuju dengan tiga kertas cadangan yang dibentangkan bagi mencegah berlakunya banjir yang berpunca daripada peningkatan suhu global selain mengoptimumkan sumber air negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara perkara yang dipersetujui termasuk pewartaan dan perizaban tanah kerajaan untuk pengekalan kolam takungan banjir dan rizab sungai yang bertujuan memastikan pengekalan fungsi kolam takungan banjir, menjamin kualiti air bersih dan memulihara alam sekitar.
Beliau berkata, fenomena perubahan iklim dan kenaikan aras laut yang sedang berlaku bakal menyebabkan kejadian ekstrem seperti banjir, musim kering, kenaikan aras laut dan pusuan ribut yang berisiko menyebabkan bencana kepada kawasan pesisir pantai.
Perdana Menteri berkata, mesyuarat bersetuju dengan cadangan tindakan dan adaptasi aras lindung pantai melalui kaedah struktur atau penyelesaian berasaskan alam semula jadi selepas mengambil kira faktor perubahan iklim dan kenaikan aras laut bagi menangani bencana ekstrem bagi mengurangkan impak bencana.
"Pelaksanaan inisiatif air pulih guna di antara Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. dengan operator air negeri juga antara lain bertujuan mengoptimumkan sumber air negara sedia ada dan menyumbang ke arah kelestarian alam sekitar melalui konsep Ekonomi Kitaran (Circular Economy) dalam menguruskan sumber air negara.
"Penyediaan sumber air baharu untuk kegunaan industri bukan makanan adalah salah satu strategi oleh kerajaan sebagai langkah pemulihan dan pemeliharaan sumber air selain peluang mewujudkan sumber pendapatan tambahan syarikat operator air," katanya dalam satu kenyataan, selepas mempengerusikan mesyuarat itu hari ini.
Mesyuarat itu adalah platform penting bagi penyelarasan antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri bagi menetapkan dasar, hala tuju dan pendekatan berhubung dengan pengurusan dan pembangunan air negara.
Majlis juga mengambil maklum mengenai pembahagian tanggungjawab antara Jabatan Pengairan dan Saliran, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi terlibat terhadap sistem saliran selain garis panduan bagi pembinaan Telaga Tiub untuk tujuan eksplorasi, pemantauan dan pengeluaran dalam penggunaan sumber air bawah tanah.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, mesyuarat menekankan bahawa negara perlu memberi perhatian serius terhadap impak peningkatan suhu global melebihi 1.1 darjah celsius yang mengakibatkan musim kering dan kekerapan kejadian banjir.
Beliau berkata, majlis juga menyarankan supaya tindakan mengambil kira faktor kesan perubahan iklim dilaksana segera dalam perancangan pembangunan supaya negara dapat mengelak peningkatan kerosakan harta benda dan juga kehilangan nyawa pada masa hadapan.
"Selain itu, mesyuarat turut menegaskan agenda transformasi sektor air yang bermula di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) sehingga Rancangan Malaysia Ke-15 (RMK-15).
"Agenda ini akan menjadikan sektor air sebagai pemboleh daya ekonomi serta penjana pertumbuhan yang dinamik menjelang tahun 2040," katanya. - DagangNews.com