KUALA LUMPUR 14 Ogos - Meta Bright Group Berhad menerusi anak syarikatnya, FBO Land Sdn. Bhd. memeterai perjanjian dengan G.E. Mining Sdn. Bhd. bagi membekalkan sistem tenaga boleh diperbaharui (RE) kepada syarikat itu.
Menerusi perjanjian itu, FBO Land perlu membekalkan sistem Solar Fotovoltaik Bersambung Grid (GCPV) tidak kurang daripada 2MW selain mereka bertanggungjawab mereka bentuk, membangunkan pembekalan, pemasangan, ujian, pentauliahan, operasi dan penyelenggaraan sistem.
G.E. Mining perlu mendapatkan semua kelulusan, persetujuan, kebenaran atau permit yang berkaitan untuk membantu FBO Land dengan pemasangan sistem di tapak projek yang akan ditentukan oleh kedua-dua pihak.
Pengarah Eksekutif Meta Bright, Derek Phang berkata, perjanjian mewakili langkah penting dalam perjalanan pihaknya ke arah masa depan yang mampan dan inovatif.
Katanya, hubungan strategik itu membantu G.E. Mining mendapatkan sumber tenaga bersih bagi meningkatkan amalan kemampanan mereka dan ia juga bertujuan mempamerkan komitmen pihaknya dalam meneroka dan memanfaatkan potensi besar RE.
“Kami berbangga dengan perkongsian penting ini dan percaya percaya rumusan RE ini akan dicontohi syarikat dalan dalam sektor perlombongan.
"Mereka menghadapi kemungkinan tekanan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) antara lain, keupayaan mereka untuk mengakses hutang dan pasaran modal secara kompetitif.
"Saya percaya kami mempunyai model kerjasama yang boleh diulang yang bukan sahaja menjanjikan faedah alam sekitar, tetapi juga membawa manfaat ekonomi secara langsung dan tidak langsung untuk semua yang terlibat," katanya. - DagangNews.com