MGRC tawar peluang kepada graduan sains IMU dapatkan pengalaman langsung dari industri genomik dan biofarmaseutikal | DagangNews Skip to main content

MGRC tawar peluang kepada graduan sains IMU dapatkan pengalaman langsung dari industri genomik dan biofarmaseutikal

Oleh Syaza Norazharuddin

KUALA LUMPUR 31 Julai - Malaysian Genomics Resource Centre Bhd (MGRC), melalui anak syarikat milik penuhnya, MGRC Therapeutics Sdn Bhd (MGRC) menawarkan Program Pelatih Siswazah kepada graduan sains International Medical University (IMU).


Program yang ditawarkan khusus kepada graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan dalam Bioteknologi Perubatan dan Sains Bioperubatan IMU itu bertujuan memupuk kecemerlangan pendidikan industri dan melatih generasi profesional dalam sektor kesihatan yang akan datang.


Menerusi kerjasama MGRC dan IMU, graduan terpilih akan mendapat manfaat daripada laluan kerjaya holistik serta memanfaatkan rangkaian ekosistem luas syarikat itu.


Siswazah terlibat juga akan menerima bimbingan daripada pakar industri, pendedahan kepada teknologi termaju dan penglibatan dalam projek penyelidikan terobosan. 


Menurut MGRC, program itu bertujuan untuk memupuk kemahiran penting seperti pemikiran kritis, penyelesaian masalah, dan pemikiran inovatif serta menyediakan graduan untuk peranan kepimpinan dalam kerjaya masa depan mereka. 


"Ia berfungsi sebagai tempat latihan untuk pelajar, menawarkan peralihan yang lancar kepada tenaga kerja dengan kemungkinan pekerjaan penuh berdasarkan prestasi.


"Kerjasama antara IMU serta MGRC dalam program ini menunjukkan sinergi antara ahli akademik dan industri, memastikan kesesuaian kurikulum dan pembangunan bakat awal," katanya dalam kenyataan hari ini.


Pengerusi Eksekutif Malaysian Genomics, Azri Azerai berkata inisiatif itu mencerminkan dedikasi syarikat itu untuk memupuk bakat muda dan menyokong pembangunan pemimpin masa depan dalam sektor genomik dan biofarmaseutikal. 

 

nnn
Pengerusi Eksekutif Malaysian Genomics, Azri Azerai


"Dengan menyediakan latihan praktikal dan peluang kerjaya, kami bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan peribadi dan profesional graduan ini tetapi juga mengukuhkan komitmen kami terhadap amalan perniagaan yang mampan dan bertanggungjawab,” ujarnya. 

 


Disamping itu, Pengarah Urusan Kumpulan IMU, Profesor Gerard George berkata, menerusi kerjasama universiti dan MGRC dalam program itu adalah bukti komitmen berterusan IMU untuk menyediakan pelajarnya permulaan yang terbaik bagi kerjaya mereka. 

 


"Dengan bekerjasama dengan pemain industri terkemuka seperti MGRC, kami boleh memastikan bahawa graduan kami dilengkapi dengan kemahiran praktikal dan pengetahuan industri yang diperlukan untuk cemerlang dalam bidang genomik dan biofarmaseutikal yang berkembang pesat,” ulas beliau.

 

nnnn
Pengarah Urusan Kumpulan IMU, Profesor Gerard George

 


MGRC juga menekankan program bersama universiti itu mewakili pendekatan proaktif syarikat itu untuk menyepadukan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) ke dalam operasi terasnya, memastikan pencapaian perniagaanya menyumbang kepada komuniti secara positif . 

 


"Dengan melabur dalam pendidikan dan latihan profesional, MGRC menyasarkan untuk meningkatkan kecekapan tenaga kerja, membangunkan tenaga kerja mahir yang mampu memacu inovasi masa depan dalam genomik dan biofarmaseutikal, dan menggalakkan pembangunan mampan.

 


"Selain itu, ia mengukuhkan penglibatan komuniti dengan membina hubungan yang kukuh dengan institusi akademik dan komuniti untuk menyokong pertumbuhan pendidikan dan profesional," katanya.- DagangNews.com