KUALA LUMPUR 2 Ogos - Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC) dengan kerjasama Tourism Selangor menganjurkan pameran pelancongan perubatan (MHExpo) pada 1 hingga 4 Ogos 2024 di Surabaya, Indonesia berikutan kejayaannya pada Mei 2024.
MHExpo Surabaya menampilkan 10 hospital terkemuka Selangor termasuk Avisena Specialist Hospital, KPJ Healthcare Berhad, Sunway Medical Centre, Kajang Putra Medical Centre, MSU Medical Centre, TopVision, Subang Jaya Medical Centre, Golden Horses Health Sanctuary, Alpha IVF dan AK Aeromedical Service.
Penyertaan MHTC dan Tourism Selangor dalam MHExpo tahun ini menggariskan komitmen bersama untuk menarik pelancong perubatan Indonesia ke Selangor.
Dalam kenyataan hari ini, Tourism Selangor berkata, terdapat lebih 50 hospital dan pusat perubatan di Selangor yang menawarkan perkhidmatan perubatan khusus, termasuk pemeriksaan kesihatan, obstetrik dan ginekologi, gastroenterologi, onkologi dan rawatan penyakit berjangkit.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC), Dr. Mohamed Ali Abu Bakar berkata, pameran itu akan memberikan pilihan perkhidmatan perubatan pada harga berpatutan kepada rakyat Indonesia.
Beliau turut menekankan rawatan yang paling kerap dilakukan oleh warga Indonesia di Malaysia termasuk penjagaan kanser, ortopedik, gastroenterologi, oftalmologi, kardiologi dan pemeriksaan perubatan komprehensif.
“Perkhidmatan perubatan di Malaysia mempunyai harga kompetitif, menjadikannya destinasi sangat menarik untuk rakyat Indonesia yang mencari penjagaan kesihatan mampu milik tanpa menjejaskan kualiti.
“Melalui pameran ini, kita berhasrat memastikan rakyat Indonesia boleh mendapatkan rawatan perubatan yang lengkap dan bermaklumat,” ujarnya.
Menurut Tourism Selangor, Malaysia mencatatkan rekod kemasukan pesakit dari negara luar sebanyak 64.49 juta dan 87.98 juta pelancong kesihatan, yang mana Selangor menerima sebanyak 115,568 orang.
Pada tahun 2023, Selangor mencatatkan kemasukan pelancong dari Indonesia tertinggi, dengan 168,116 pelawat dan sebanyak 103,448 pada tahun 2022, menunjukkan peningkatan sebanyak 62.5%.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dalam kenyataan yang sama berkata, hospital di Selangor dilengkapi dengan teknologi perubatan termaju dan dikendalikan oleh pakar berkelayakan tinggi.
Ini terbukti apabila Selangor diumumkan sebagai negeri yang mempunyai jangka hayat tertinggi di Malaysia.
Oleh sebab itu, Amirudin Shari yakin pelancong Indonesia akan menerima layanan dan kemudahan terbaik di Selangor.
“Dengan 354 penerbangan mingguan dari Indonesia ke Selangor, pelancong boleh menikmati aksesibiliti mudah untuk mendapatkan rawatan perubatan sambil menikmati percutian mereka,” ulasnya.
Dalam usaha memperkukuhkan hubungan dua hala dengan Republik Indonesia melalui pelancongan perubatan, Tourism Selangor telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Avisena Specialist Hospital, Golden Horses Health Sanctuary and KPJ Healthcare.
Katanya, MoU itu menggariskan rangka kerja bersama membangunkan pakej pelancongan perubatan dengan tujuan untuk menarik pelancong perubatan dari luar negara dan ejen pelancongan ke Selangor.- DagangNews.com