MIDF Research jangka kelemahan nilai ringgit bantu tingkatkan minat warga asing terhadap hartanah Malaysia | DagangNews Skip to main content

MIDF Research jangka kelemahan nilai ringgit bantu tingkatkan minat warga asing terhadap hartanah Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Julai - Kelemahan nilai ringgit dijangka membantu meningkatkan minat warga asing untuk membeli hartanah di Malaysia kerana harganya yang murah.

 

MIDF berkata, kelemahan itu juga membuatkan sebahagian daripada orang ramai mula memperyimbangkan usaha untuk melabur dalam segmen itu dalam usaha mengekalkan kekayaan mereka.

 

"Kami merasakan kelemahan nilai ringgit akan terus meningkatkan minat belian hartanah dalam kalangan warga asing.

 

"Bagaimanapun, minat itu akan terus meningkat sekiranya lebih banyak insentif menarik disediakan kepada mereka," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, prospek pasaran hartanah di Johor berubah menjadi lebih baik dengan unit kediaman tidak terjual lebih rendah pada suku pertama tahun ini.

 

Katanya, unit kediaman yang tidak terjual jatuh di bawah paras 5,000 unit pada suku pertama 2023. 

 

"Potensi pemulihan projek kereta api laju (HSR) juga menjadi pemangkin kuat kepada Johor kerana ia akan meningkatkan permintaan terhadap hartanah di Johor.

 

"Dalam perkembangan lain, Malaysia dan Singapura telah bersetuju untuk menubuhkan pasukan petugas khas untuk mengkaji penubuhan zon ekonomi khas Johor-Singapura baru-baru ini," katanya.

 

Firma itu berkata, perkembangan positif itu dijangka menyokong permintaan untuk hartanah dalam tempoh jangka panjang.

 

Firma itu kekal 'neutral' tetapi positif terhadap sektor itu kerana melihat permintaan terhadap hartanah semakin berkembang.

 

"Untuk pilihan saham, kami mempunyai saranan 'beli' terhadap Mah Sing (TP: RM0.78), IOI Properties (TP: RM1.38), Glomac (TP: RM0.43) dan SP Setia (TP:RM0.71)," katanya. - DagangNews.com