MIDF Research jangka syarikat EPCC RE muncul penerima manfaat terbesar menerusi CGPP | DagangNews Skip to main content

MIDF Research jangka syarikat EPCC RE muncul penerima manfaat terbesar menerusi CGPP

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Ogos - MIDF Research mengunjurkan syarikat yang terlibat dengan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) tenaga boleh diperbaharui (RE) adalah antara penerima manfaat terbesar daripada Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP)

 

Firma penyelidikan itu menganggarkan 563.4MW yang telah diberikan boleh menghasilkan kira-kira RM1.7 bilion prospek EPCC, manakala baki 236.6MW yang akan diberikan boleh menambah RM710 juta lagi potensi pada masa hadapan.

 

"Ia berfungsi sebagai pengisian semula buku pesanan tepat pada masanya dalam tempoh dua tahun akan datang kerana projek solar berskala besar (LSS4) akan beransur-ansur siap menjelang Mac 2024.

 

"Kami menjangkakan anugerah EPCC untuk projek CGPP akan masuk ke dalam buku pesanan dalam tempoh enam hingga 12 bulan akan datang," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu percaya projek solar utama yang diumumkan di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) baru-baru ini berpotensi meningkatkan lagi prospek buku pesanan untuk pemain EPCC.

 

Katanya, sejumlah projek solar berskala besar 1.5GW telah diumumkan di bawah NETR yang terdiri daripada loji solar hibrid 1GW yang diterajui oleh UEM Group & Itramas Corporation dan taman solar 500MW di bawah Tenaga Nasional Berhad (TNB).

 

"Ini boleh melibatkan anggaran EPCC bernilai RM4.5 bilion. 

 

"Terdapat juga satu lagi solar terapung hidro hibrid 2.5GW yang akan diusahakan oleh TNB di empangan hidro Kenyir dan Sungai Perak yang boleh melibatkan prospek pekerjaan EPCC sebanyak RM10 bilion hingga 12.5 bilion," katanya.

 

MIDF Research mengekalkan penarafan positif terhadap sektor utiliti disokong oleh polisi jelas terhadap peralihan tenaga yang dipercayai akan menjadi pendorong kepada perkembangan perniagaan serta amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

 

Pilihan utama utama mereka ialah Samaiden (beli, TP: RM1.54), Sunview (beli, TP: RM1.32) dan Pekat (beli, TP: RM0.57) sebagai penerima utama projek CGPP.

 

"TNB (beli, TP: RM10.50) juga merupakan penerima dalam ruang pemilikan aset sebagai pemenang kapasiti terbesar di bawah CGPP dengan jumlah 90MWac," katanya.- DagangNews.com