MIDF Research kekal positif terhadap prospek Padini disokong kedudukan kukuh tunai bersih pada RM627.5 juta | DagangNews Skip to main content

MIDF Research kekal positif terhadap prospek Padini disokong kedudukan kukuh tunai bersih pada RM627.5 juta

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 2 Jun - MIDF Research kekal positif terhadap prospek Padini Holdings Berhad yang disokong oleh kedudukan tunai bersih yang kukuh, harga produk mampu milik dan pengurusan kos berkesan.

 

Firma penyelidikan itu menjelaskan bahawa kedudukan kukuh tunai bersih Padini sebanyak RM627.5 juta adalah bersamaan dengan 25% daripada modal pasaran, manakala harga produk mampu milik menarik minat golongan B40 dan M40.

 

Susulan taklimat penganalisis secara maya, firma itu mendapati pertumbuhan jualan kedai sama (SSSG) kumpulan, 41% tahun ke tahun (YoY) pada suku ketiga berakhir 31 Mac 2023 dan 65% YoY dalam sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23), menunjukkan permintaan positif berterusan untuk produk Padini di kedai sedia ada pada suku tersebut.

 

“Melangkah ke hadapan, kumpulan itu berkata jualan pada April dan Mei adalah setanding dengan tahun sebelumnya, di mana sentimen pengguna yang lembap ekoran peningkatan kadar faedah dan keadaan inflasi,” katanya dalam nota hari ini.

 

Selain itu, Padini bakal menambah dua cawangan di Kemboja di samping sedang giat meneroka peluang membuka kira-kira lima cawangan baharu di Malaysia dan satu hingga dua kedai baharu di Thailand.

 

Menurut firma itu, pihak pengurusan menekankan bahawa sektor peruncitan fesyen di Thailand kekal berdaya saing tinggi tetapi tiada rancangan untuk menutup mana-mana kedai pada masa ini.

 

Ini memandangkan beberapa cawangan di Thailand telah mula mencatatkan keuntungan pada bulan-bulan tertentu 2023, jelasnya.

 

Bagaimanapun, kumpulan itu kekal berhadapan dengan cabaran pengambilan kakitangan kekal walaupun setakat 9MFY23, Padini telah berjaya mengambil 300 pekerja baharu dalam pelbagai jawatan.

 

Selain itu, kumpulan itu tidak bercadang untuk menambah bilangan pekerja untuk kedai tertentu melainkan perlu atau untuk pembukaan kedai baharu.

 

MIDF Research berkata tiada pelarasan dibuat pada unjuran pendapatan kumpulan dan mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) pada RM4.40 sesaham.

 

Setakat pukul 10:20 pagi hari ini, saham Padini didagangkan pada RM3.67, susut 4 sen atau 1.1% dengan modal pasaran sebanyak RM 2.4 bilion. -DagangNews.com