KUALA LUMPUR 13 Julai - MIDF Research kekal positif terhadap sektor pembinaan dan menjangkakan tekanan kos semasa mampu dihadapi terutama selepas harga purata bar keluli terus menyusut dan kenaikan harga simen lebih perlahan daripada jangkaan.
Firma itu berkata, purata harga bar keluli di Malaysia susut 0.53% bulan ke bulan kepada RM3,706.95 satu tan pada Jun manakala harga purata simen meningkat 0.2% dari bulan ke bulan kepada RM22.87 sekilogram (kg).
Harga simen di Semenanjung Malaysia meningkat 0.6% dari bulan ke bulan kepada RM22.36 sekilogram manakala harga di Sabah dan Sarawak kekal tidak berubah pada RM23.12 sekilogram
Katanya, purata harga bar keluli di semenanjung turun 1% kepada RM3,289.81 satu tan manakala Sabah dan Sarawak menyaksikan penurunan -0.3% kepada RM3,915.52 satu tan.
"Harga purata bar keluli di Malaysia merosot untuk bulan kedua berturut-turut, sejajar dengan penurunan harga antarabangsa keluli dan bijih besi.
"Kami menjangkakan sektor ini mendapat manfaat daripada menambah baik aliran kerja yang dipacu oleh Bajet 2023 dan juga rancangan pembangunan di Sarawak untuk meningkatkan kesalinghubungan di negeri ini, yang penting untuk berfungsi sebagai pintu masuk ke Nusantara apabila Indonesia memindahkan ibu negaranya ke Kalimantan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, penurunan harga bar keluli itu sudah dijangka terutama apabila pihak berkuasa China bertindak untuk mengekang lonjakan harga bijih besi pada Mac.
“Berdasarkan harga lima jenis bar keluli lembut dan empat jenis bar tegangan tinggi yang dijejaki Jabatan Perangkaan Malaysia, harga purata susut 0.53% dari bulan ke bulan pada Jun (Mei: -0.34% dari bulan ke bulan) kepada RM3,706.95 setiap tan," katanya.- DagangNews.com