KUALA LUMPUR 7 Ogos - MIDF Research mengunjurkan dagangan runcit untuk kedai bukan pengkhususan serta makanan dan minuman (F&B) akan meneruskan trajektori menaik pada tahun ini.
Firma penyelidikan itu berkata, unjuran itu disokong permintaan berdaya tahan untuk pembeli produk harian selain normalisasi penggunaan di luar rumah berikutan pembukaan semula sempadan serta peningkatan kehadiran pelancong.
"Ia adalah konsisten dengan prospek optimis untuk dagangan runcit pada 2023 seperti yang dinyatakan dalam laporan terkini kami.
"Oleh itu, kami percaya bahawa peruncit seperti Aeon Co (beli, TP: RM1.50) dan Padini (beli, TP: RM4.40) berkemungkinan mendapat manfaat daripada aliran menaik.
"Selain itu, peningkatan kehadiran pelancong boleh menambahkan lagi jualan untuk kedai serbaneka seperti Family Mart di bawah QL Resources (beli, TP: RM6.75)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, semua komoditi di bawah paras tertinggi dua tahun walaupun menunjukkan prestasi bercampur-campur pada Julai 2023.
Katanya, pada Julai 2023, harga gandum dan minyak sawit mentah (MSM) meningkat disebabkan kebimbangan terhadap keselamatan makanan berikutan keluarnya Rusia daripada perjanjian Laut Hitam pada 17 Julai 2023.
Bagaimanapun, kedua-dua niaga hadapan MSM dan gandum menyaksikan penurunan daripada kemuncak dua tahun mereka, bersama-sama dengan harga gula mentah jatuh daripada kemuncaknya pada 23 Julai lalu.
"Normalisasi harga komoditi global ini menunjukkan potensi pengurangan masa depan dalam kos bahan mentah untuk pengeluar makanan, justeru menyokong margin keuntungan.
"Sementara itu, kami percaya bahawa harga koko yang tinggi boleh diuruskan untuk pengeluar makanan dengan kehadiran jenama yang kukuh, memandangkan permintaan yang berdaya tahan terhadap produk berkaitan koko.
"Oleh itu, mereka mempunyai keupayaan yang lebih besar untuk menyampaikan kenaikan harga koko kepada pelanggan," katanya.
Firma itu berpandangan positif terhadap prospek sektor pengguna. - DagangNews.com