Mimpi ngeri jadi kenyataan, kes COVID-19 Malaysia mencanak ke angka 11,079 | DagangNews Skip to main content

Mimpi ngeri jadi kenyataan, kes COVID-19 Malaysia mencanak ke angka 11,079

COVID-19

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 13 Julai - Wabak COVID-19 terus mengancam keselamatan dan kesihatan rakyat Malaysia apabila mencatatkan lonjakan jumlah kes baharu sebanyak 11,079 kes hari ini.

 

Jumlah berkenaan sekali gus menjangkaui paras tertinggi sekitar 9,000 kes sebelum ini.

 

,

 

Menurut status terkini data COVID-19 di Malaysia, Selangor menjadi penyumbang hampir separuh kes apabila   mencatatkan jumlah jangkitan tertinggi iaitu sebanyak  5,263.

 

Jumlah berkenaan diikuti Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan apabila masing-masing merekodkan kes baharu sebanyak 1,521 dan 1,033 kes hari ini.

 

Negeri-negeri lain bagaimanapun mencatatkan kes harian di bawah paras 500.

 

Sementara itu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin hari ini memaklumkan seramai 204 kes positif COVID-19 dikesan di Pusat pemberian vaksin (PPV) Ideal Convention Centre (IDCC) di Shah Alam.

 

Baca: Pusat Pemberian Vaksin IDCC, Shah Alam ditutup 13 Julai 2021 untuk kerja sanitasi
 

 

Menurut beliau, kes tersebut dikesan dalam kalangan petugas PPV berkenaan.

 

,

 

Susulan itu, IDCC Shah Alam terpaksa ditutup hari ini bagi tujuan sanitasi oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

 

"Kesemua 453 petugas PPV berkenaan menjalani ujian saringan Tindak Balas Berantai Polimerase (RT-PCR) secara beramai-ramai pada 10 Julai lalu dan keputusan ujian saringan menunjukkan kesemua yang positif mempunyai nilai kitaran ambang (CT) lebih daripada 35 iaitu beban virus (viral load) yang rendah.

 

"88% atau kira-kira 400 petugas di PPV itu sudah divaksinasi, manakala baki 12% sukarelawan belum divaksin mungkin disebabkan penggiliran petugas baharu, dan kemungkinan mereka yang positif itu mempunyai beban virus yang rendah kerana kebanyakan mereka sudah divaksinasi," katanya.

 

Susulan kejadian tersebut, beliau turut menyarankan mana-mana individu yang hadir janji temu vaksin di PPV berkenaan dari 9 Julai hingga 12 Julai untuk melakukan kawalan kendiri selama 10 hari dan menjalani ujian saringan COVID-19 sekiranya bergejala.

 

Hingga kini, kes jangkitan di PPV IDCC merupakan kes pertama jangkitan COVID-19 melibatkan PPV. - DagangNews.com