MPay dilantik sebagai penyedia sistem pembayaran terbuka di lorong tol terpilih AKLEH, GCE | DagangNews Skip to main content

MPay dilantik sebagai penyedia sistem pembayaran terbuka di lorong tol terpilih AKLEH, GCE

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Julai - Managepay Systems Berhad menerusi anak syarikatnya, ManagePay Services Sdn. Bhd. dilantik oleh Turnpike Synergy Sdn. Bhd. untuk membekal, menghantar, memasang, menyepadukan, menguji, mentauliahkan dan menyelenggara sistem pembayaran terbuka di lorong tol terpilih untuk Lebuhraya Bertingkat Ampang – Kuala Lumpur (AKLEH) dan Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE).

 

Sistem tersebut perlu disiapkan dalam tempoh 12 minggu dan tempoh pajakan berikutnya selama 24 bulan dengan pilihan untuk melanjutkan tempoh pajakan selama 36 bulan berikutnya oleh Turnpike Synergy.

 

"Skop kerja surat anugerah itu merangkumi pembekalan penyelesaian pembayaran terbuka hujung ke hujung yang boleh disepadukan dengan sistem kutipan tol sedia ada di plaza tol sedia ada, dari Aras Lorong ke Aras Plaza dan ke Aras Ibu Pejabat sehingga Aras LEmbaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
 

"Ia juga merangkumi pengujian dan pentauliahan, pajakan sistem semasa tempoh pajakan, atau sebarang lanjutan masa dan peruntukan untuk sokongan penyelenggaraan," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kontrak itu dijangka menyumbang secara positif terhadap pendapatan dan aset bersih sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 dan seterusnya sehingga tamat tempoh pajakan.

 

Turnpike Synergy merupakan anak syarikat Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (Prolintas). 

 

Prolintas telah diperbadankan pada 19 Januari 1995 dan merupakan pemegang konsesi enam lebuh raya termasuk Lebuhraya Kemuning Shah Alam (LKSA), Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK),  Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dan Lebuhraya Bertingkat Damansaea-Shah Alam (DASH). - DagangNews.com