MST Golf buat penampilan sulung di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 70.5 sen, 12.96% di bawah harga IPO | DagangNews Skip to main content

MST Golf buat penampilan sulung di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 70.5 sen, 12.96% di bawah harga IPO

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Julai - MST Golf Group Berhad membuat penampilan sulungnya di Pasaran Utama Bursa Malaysia hari ini pada harga 70.5 sen sesaham, mewakili diskaun 10.5sen atau 12.96% daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) iaitu 81 sen. 

 

Berdasarkan modal saham yang diperbesarkan sebanyak 820.87 juta saham, MST Golf menjangkakan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM664.9 juta selepas penyenaraian.

 

Ini menilai syarikat pada 27 kali nisbah harga pendapatan (PER) berdasarkan pendapatan sesahamnya sebanyak tiga sen pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22).

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan MST Golf, Ng Yap mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memainkan peranan dalam menyokong pihaknya untuk merealisasikan penyenaraian itu. 

 

"Kami juga mengucapkan terima kasih kepada pelabur yang tampil menyokong IPO kami," katanya dalam satu kenyatan, hari ini.

 

Sejumlah RM62.76 juta daripada hasil IPO akan diperuntukkan untuk pengembangan di Malaysia dan Singapura, manakala RM53.55 juta lagi untuk pengembangan ke pasaran baharu.

 

Sementara itu, RM3 juta akan diperuntukkan untuk menaik taraf kemudahan teknologi digital, RM3.23 juta untuk modal kerjanya, dan baki RM7.04 juta untuk perbelanjaan penyenaraian.

 

Ditubuhkan pada 1989, MST Golf mempunyai sejumlah 44 lokasi runcit di Malaysia dan Singapura selain mengintai peluang untuk memacu pertumbuhannya dalam segmen peralatan golf runcit di pasaran Indonesia, Thailand dan Vietnam.

 

Kumpulan itu menyasarkan untuk menerokai Thailand tahun depan, di mana ia merancang empat kedai runcit dan dua lagi dengan pusat golf dalaman; manakala Vietnam akan menyusul pada 2025, dengan dua kedai runcit untuk dimulakan dan dua lagi kedai runcit dengan pusat golf tertutup kemudian.

 

Sementara itu, TA Securities Research menilai MST Golf pada RM1.20 sesaham. Firma itu berkata, MST Golf menyaksikan pulangan ke atas ekuiti (ROE) sebanyak 40% pada FY22 berbanding ROE MR DIY sebanyak 36.6%.

 

Apex Securities menetapkan harga sasaran 97 sen, iaitu PER sebanyak 21.9 kali ganda daripada anggaran pendapatan sesaham (EPS) FY24 sebanyak 4.4 sen untuk kumpulan itu. - DagangNews.com