KUALA LUMPUR 17 Julai - MST Golf Group Berhad optimis terhadap rancangan penyenaraian kumpulan itu ke Pasaran Utama Bursa Malaysia serta prospek pengembangan perniagaan selepas pandemik COVID-19.
Pada suku pertama tahun kewangan berakhir pada 31 Mac 2023, peruncit peralatan golf itu mencatatkan untung bersih RM8.79 juta dengan hasil sebanyak RM86.29 juta.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Ng Yap berkata, tempoh COVID-19 mengakibatkan ledakan golf global yang menarik dan kemasukan ramai pemain terutamanya daripada generasi muda dan wanita.
Beliau berkata, terdapat peluang pertumbuhan di Malaysia dan Singapura sejajar dengan rancangan pengembangan kumpulan itu, dengan ketersediaan lokasi dan terma sewa yang menggalakkan, termasuk di pusat beli-belah utama, untuk konsep kedai tiga dalam satu.
"Memandangkan asas perniagaan kami yang kukuh di Malaysia dan Singapura, ditambah dengan jenama perniagaan kepada pengguna kami yang mantap dan sokongan daripada jenama global, kami yakin berjaya melancarkan pelan pengembangan perniagaan kami untuk tiga tahun akan datang dan seterusnya.
"Hampir 90% daripada hasil IPO (tawaran awam permulaan) diperuntukkan untuk pengembangan domestik dan serantau kami, menggariskan komitmen kami terhadap pertumbuhan di rantau ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
MST Golf merancang untuk mengembangkan perniagaan runcit golf dan mengintai untuk menembusi kawasan geografi baharu seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam.
Menurut Ng Yap, pasaran itu memberikan peluang pertumbuhan yang luar biasa untuk kumpulan dan MST Golf teruja untuk membina perniagaan runcitnya di negara-negara itu.
MST Golf akan disenaraikan secara rasmi di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 20 Julai 2023. - DagangNews.com