BERA 10 Nov - Menyusuri pepatah 'di sebalik kejayaan seorang lelaki, berdirinya seorang wanita di belakangnya,' Datin Seri Muhaini Zainal Abidin turun padang menyantuni penduduk Felda Tembangau 2 di sini hari ini, bagi memberi sokongan kepada suaminya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkempen.
Hadir tanpa ditemani Perdana Menteri, Muhaini selesa bertemu tetamu yang hadir pada Program Kenduri Rakyat di situ, secara santai dan bersahaja bertanya khabar dan mengingatkan hadirin untuk keluar menunaikan kewajipan mengundi pada 19 Nov ini sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Tidak lupa, Muhaini turut berterima kasih kepada penduduk di situ kerana telah memberikan sokongan yang kuat kepada Ismail Sabri, sejak beliau mula menjadi Ahli Parlimen Bera pada tahun 2004.
Turut berada di program itu ialah Nasrah Mohd Yusof, isteri calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemayan, Khaizunizam Mohamad Zuldin, lapor Bernama.
Pada PRU15, Ismail Sabri selaku penyandang kerusi Parlimen Bera dicabar calon Pakatan Harapan (PH) Abas Awang dan Datuk Asmawi Harun (Perikatan Nasional). - DagangNews.com