Mustahak, lagi genting fokus dasar anti penyeludupan dalam Belanjawan 2022 | DagangNews Skip to main content

Mustahak, lagi genting fokus dasar anti penyeludupan dalam Belanjawan 2022

PENYELUDUP bertindak nekad membakar bot yang diguna di dalam kegiatan jenayah mereka apabila menyedari sudah terkepung oleh pihak berkuasa Malaysia.

 

 

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

 

PENYELUDUPAN? Bukankah patut fokus kepada pemulihan COVID-19? Pastikan lagi ramai divaksin. Pastikan negeri-negeri beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara supaya dapat mengembalikan kehidupan kita.

 

Sebelum merengus lagi teruk, baca sikit lagi. Dasar anti penyeludupan mustahak dan genting demi pemulihan ekonomi dan keselamatan kita semua. Bab mana itu?

 

Secara faktanya, dalam Belanjawan 2021, kerajaan sudah mengambil beberapa langkah untuk menghentikan penyeludupan sama ada barangan konsumer tetapi terutama bagi membanteras dagangan rokok seludup.

 

Ia termasuk mengehadkan transhipmen rokok di pelabuhan khusus, mengenakan cukai ke atas rokok import yang tidak dibenarkan untuk eksport semula dan tidak membenarkan pengeksportan semula rokok menggunakan bot kecil.

 

Langkah yang digariskan di dalam Belanjawan 2021 mencapai matlamatnya ke satu tahap.

 

Kerajaan juga telah memperkuatkan penguatkuasaan di sepanjang sempadan negara, khususnya di kawasan yang berisiko wujudnya Lorong Tikus.

 

Bagaimanapun, perisikan dan operasi bersama hendaklah dilakukan dengan sepenuh keikhlasan dan kejujuran demi negara, tanpa sebarang agenda tersembunyi.

 

Dengan sindiket jenayah kini mengubah modus operandi mereka kepada kawasan pesisir pantai, lebih banyak langkah penguatkuasaan hendaklah diwujudkan bagi menghentikan kegiatan penyeludupan.

 

Laluan perairan antarabangsa dan menutup AIS (Automatic Identification System) antara modus operandi diguna pakai oleh kapal-kapal berkepentingan untuk mengelak dikesan dan dikenakan tindakan undang-undang .

 

 

merrepak

 

 

Sebagai tambahan kepada penambahan rondaan dan pemantauan, kakitangan penguatkuasa undang-undang hendaklah juga dilengkapi dengan teknologi, keupayaan mengumpul perisikan yang ditambah baik, berterusan mengadakan operasi dan memantau rapat dengan sistem giliran diamalkan, sebagai satu cara mengurangkan cubaan merasuah.

 

Berdasarkan laporan media, langkah-langkah yang dilaksanakan oleh kerajaan berjalan dengan baik. Pelbagai rampasan berjaya dilakukan di laut dan darat yang memecahkan kelancaran sindiket penyeludupan rokok ini.

 

Polis Marin mencatat sejarah dengan rampasan rokok seludup bernilai RM52 juta dari sebuah kapal kargo dekat Pulau Kukup, Johor pada awal tahun ini. Di Pelabuhan Klang Selangor pula, Jabatan Kastam merampas 15 juta batang rokok seludup dari dalam dua kontena.

 

Ini menunjukkan penyeludup telah mencuba kaedah lain menerusi laut tetapi masih menggunakan kontena untuk mengabui mata pihak berkuasa.

 

Dengan kolaborasi dan komunikasi yang kuat terjalin di dalam pasukan petugas pelbagai agensi, mereka berjaya memintas penghantaran itu dan menyekatnya daripada memasuki negara ini.

 

 

merrepak
Pegawai Kastam menunjukkan rokok seludup menggunakan kontena di pelabuhan negara.

 

 

50 peratus tembakau haram menerusi transhipmen

Lebih daripada 50 peratus tembakau haram di Malaysia masuk menerusi pelabuhan dan lorong tikus. Di samping itu, aliran masuk tembakau haram ke Malaysia juga merebak melangkau sempadannya. Di Australia, lebih 40 peratus tembakau haram adalah didatangkan dari, atau pemunggahan kapal menerusi, Malaysia.

 

Inilah sebahagian rumusan daripada kaji selidik oleh empat firma penyelidikan yang berbeza terhadap industri tembakau global.

 

Permasalahan rokok seludup di Malaysia bukan terhad kepada masalah domestik lagi sebaliknya Malaysia telah berkembang menjadi `pusat pengedaran rokok seludup' di rantau ini, mengeksport ke negara sejauh Australia, menurut Euromonitor International Ltd.

 

Laporan Kajian RTBA (Advokasi Jenama Runcit dan Dagangan) terhadap Dagangan Rokok Haram di Asia Pasifik 2020, menunjukkan bahawa Malaysia bukan sahaja kerugian lebih daripada RM5 bilion setahun daripada segi hasil terhadap dagangan haram rokok.

 

"Malaysia, bersama dengan China, Vietnam, Indonesia, Singapura, telah dikenal pasti sebagai vektor utama di dalam penyebaran tembakau haram di seluruh rantau ini."

 

Laporan kajian firma Alvarez & Marsal bertajuk Punca-punca dan Kawalan Tembakau Haram, Edisi Kedua – 2019 menyatakan jumlah dagangan rokok haram Malaysia menghampiri 60%, bertambah begitu dramatik ekoran kenaikan cukai eksais 37 peratus pada 2015.

 

Ia secara langsung mendorong kenaikan 46 peratus dari segi jualan rokok seludup, sekali gus menjadikan Malaysia satu daripada paras tertinggi dalam pasaran tembakau haram di dunia.

 

Kukuhkan dasar banteras penyeludupan dalam Belanjawan 2022

Pada pembentangan Belanjawan 2021 tahun lalu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, mengumumkan Pasukan Petugas Pelbagai Agensi akan diperkukuhkan dengan penyertaan wakil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Pusat Anti Jenayah Kewangan Kebangsaan.

 

 

zafrul

 

 

Beliau turut menggariskan beberapa langkah yang akan membantu mengurangkan bilangan rokok seludup di negara ini. Ia termasuk :

●membekukan pengeluaran lesen import rokok baharu,

●mengetatkan pembaharuan lesen import bagi rokok,

●mengehadkan transhipmen rokok di pelabuhan khusus sahaja,

●mengenakan cukai import ke atas rokok yang bertujuan untuk dieksport,

●melarang transhipmen rokok dan mengeksport tokok menggunakan bot kecil dan,

●menjadikan rokok dan produk tembakau layak dicukai di semua pulau bebas cukai dan mana-mana zon perdagangan bebas yang dibenarkan penjualan runcit rokok bebas cukai.

 

Kerajaan hendaklah tegas di dalam melaksanakan program pembanterasan penyeludupan secara ketat kerana sudah ada segelintir pihak mendesak supaya dilonggarkan kawalan berkenaan, terutama berkaitan transhipmen. Tidak timbul alasan untuk melonggarkan kawalan ke atas transhipmen.

 

Peserta industri tembakau menganggarkan RM5 bilion setahun daripada segi kutipan cukai telah terlepas daripada tangan kerajaan disebabkan kegiatan penyeludupan rokok yang berleluasa.

 

Ketika negara berusaha memulihkan ekonomi akibat pandemik COVID-19 ini, setiap Ringgit adalah bernilai dan diperlukan. Apatah lagi RM5 bilion yang disebut di atas, yang dana berkenaan boleh disalur kepada Kementerian Kewangan untuk membina semula sistem kesihatan negara dan mengambil doktor-doktor kontrak secara sepenuh masa.

 

Langkah-langkah ini membuatkan penyeludup menukarkan modus operandi kepada penyeludupan melalui pesisir pantai, sempadan negara dan pengisytiharan palsu namun sukar kerana kawalan ketat oleh pelbagai agensi berkaitan termasuk polis marin dan kastam.

 

Sebelum dasar baru yang diperkenalkan, penyeludup menggunakan borang Kastam K8 ketika ditahan kononnya rokok berkenaan sedang dalam transit atau dieksport semula ke Thailand dan Pulau Bebas Cukai dan ini amat sukar untuk penguasa menyabitkan kesalahan mereka. Borang Kastam K8 dahulunya disalahgunakan untuk mengabui mata penguatkuasa.

 

Perniagaan rokok tidak sah amat besar dan menguntungkan, dianggarkan berjumlah 12.2 bilion batang setahun, sudah tentulah kartel-kartel licik akan cuba untuk mencari peluang untuk memasuki semula ke negara ini secara mudah.

 

 

merrepak

 

 

Walaupun aktiviti transhipmen dan pengimportan rokok untuk dieksport semula telah dihadkan tetapi masih dibenarkan, transhipmen melalui jalan darat perlulah diperketatkan kelulusannya kerana ini adalah alasan yang mereka gunakan sebelum ini bagi menyeludup masuk rokok tidak sah ke negara ini.

 

Antara lainnya, aktiviti berkenaan perlu diperhatikan dengan teliti supaya hanya transhipment yang bona fide dibenarkan iaitu transhipment yang diiringi dengan lesen import dari negara destinasi; serta produk dan bungkusan yang mematuhi peraturan negara destinasi seperti kadar tar dan nikotin, dan amaran kesihatan negara destinasi. Sekiranya tidak, kemungkinan besar ia adalah hanya lakonan oleh penyeludup.

 

Tujuan utama percukaian rokok yang tinggi adalah untuk kesejahteraan kesihatan awam. Harga rokok yang lebih mahal menerusi kenaikan cukai diharap akan mengurangkan kekerapan merokok, meningkatkan kesihatan masyarakat serta menyebabkan keuntungan bersih hasil cukai bagi kerajaan.

 

Walau bagaimanapun hasrat kerajaan mungkin tidak akan tercapai sekiranya kadar rokok seludup di negara ini masih lagi tinggi. Malah, Malaysia masih adalah pasaran rokok tidak sah tertinggi di dunia menurut laporan Euromonitor International.

 

Untuk Belanjawan 2022, Kerajaan digesa supaya menangguhkan dahulu kenaikan kadar cukai rokok di negara untuk memberi peluang dasar-dasar yang baru dilaksanakan betul-betul membuahkan hasil.

 

Malah, dasar sedia jika dilaksanakan dengan jitu mampu untuk mengembalikan hasil cukai secara organik. Sebarang kenaikan harga rokok sah ketika ini hanya akan meningkatnya permintaan terhadap rokok seludup dan meluaskan lagi jurang harga ketika rakyat/ pengguna yang rata-rata kini sedang mengalami kesulitan kewangan.

 

Kerajaan perlulah mempertahankan dasar serta langkah-langkah yang baru dilaksanakan serta mempertajamkan lagi dasar sedia ada demi menghalang rompakan ke atas hasil negara yang dianggar sebanyak RM5 bilion setahun ini.

 

 

merrepak

 

 

Harapan dalam pembentangan Belanjawan 2022

Belanjawan 2022 tidak lama lagi, aspek penguatkuasaan ini terus diberi penekanan bagi menutup segala ketirisan baharu dan lama.

 

Ketegasan kerajaan ini penting demi memulihkan ekonomi dan dari sudut yang sering orang lupa ialah, industri tembakau kebanyakannya syarikat asing yang melabur di Malaysia. Jika berterusan tiris dan terobos oleh penyeludup, kita akan menyaksikan satu demi satu syarikat asing ini meninggalkan Malaysia. 

 

MERREPAK adalah ruangan pojok setiap Ahad oleh Johardy Ibrahim sebagai Pengarang Urusan DagangNews.com - menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu Naik Turun Naik - Blues Gang berulang-ulang kali.

 

 

*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.