MyEG, FMFF promosikan blockchain ZTrade sebagai kemudahan perdagangan Tetingkap Tunggal Kebangsaan  | DagangNews Skip to main content

MyEG, FMFF promosikan blockchain ZTrade sebagai kemudahan perdagangan Tetingkap Tunggal Kebangsaan 

(Dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MyEG, Wong Thean Soon, Menteri Perdagangan Pelaburan dan Industri, Tengku Zafrul Tengku Aziz dan Presiden Persekutuan Penghantaran Fret Malaysia (FMFF), Datuk Tony Chia semasa majlis menandatangani perkongsian antara MyEG dan FMFF - Gambar dari Facebook Tengku Zafrul
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Sept - MyEG Services Bhd bekerjasama dengan Persekutuan Penghantaran Fret Malaysia (FMFF) bagi mempromosikan ZTrade, sistem dokumen perdagangan berasaskan blockchain.

 

Perkongsian itu menumpukan Ztrade sebagai kemudahan perdagangan rentas sempadan bagi Tetingkap Tunggal Kebangsaan (NSW) Malaysia.

 

FMFF yang disahkan oleh Kementerian Pengangkutan sebagai persatuan kebangsaan mewakili industri logistik, kini mempunyai 1,500 ahli di seluruh negara.

 

Perkongsian itu susulan kerjasama eksklusif MyEG baru-baru ini dengan East Logistics Link Co Ltd (ELLC), anak syarikat Pentadbiran Am Kastam China (GACC) untuk membangunkan dan melaksanakan NSW bagi memudahkan perdagangan rentas sempadan di Asean.

 

Menurut maklumannya kepada Bursa Malaysia, MyEG berkata ia telah menandatangani memorandum persefahaman (MOU) selama tiga tahun dengan FMFF, di mana kedua-dua pihak akan bekerjasama untuk mempromosikan ZTrade sebagai NSW bagi perdagangan domestik dan rentas sempadan di Malaysia. 

 

“Ini termasuk mempromosikan platform kepada perniagaan dan agensi kerajaan, menawarkan latihan dan sokongan dan memasarkan perkhidmatan ZTrade kepada ahli FMFF,” kata MyEG. 

 

Menurut MyEG , ZTrade merupakan teknologi Web3 berdasarkan platform blockchain Zetrix MyEG yang menyediakan akses hampir masa nyata kepada data sijil, mempertingkatkan pengiraan tarif dan kecekapan pelepasan kastam.

 

MyEG juga menerima surat pemberitahuan daripada ELLC pada Jun untuk menggunakan ketersambungan bagi perkhidmatan kemudahan perdagangan dengan ZTrade, berikutan kerjasama Kementerian Kewangan Malaysia dan GACC mengenai kerjasama perdagangan rentas sempadan.

 

Semasa majlis menandatangani MoU, Pengarah Urusan Kumpulan MyEG, TS Wong berkata, kerjasama syarikat dengan GACC, melalui ELLC, meletakkannya dalam kedudukan strategik. 

 

“Perkongsian ini menggabungkan kepakaran teknologi dan pandangan mendalam tentang praktikal pelaksanaan NSW yang berjaya. 

 

"Dengan sokongan berterusan daripada FMFF dan pemahaman mereka tentang keperluan perniagaan di Malaysia, kami percaya pakej penglibatan industri yang kami tawarkan tidak dapat ditandingi, menggunakan teknologi yang terbukti dan amalan terbaik global," tambah Wong.

 

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, yang menyaksikan pemeteraian MoU itu, berkata inisiatif NSW menunjukkan komitmen kerajaan Malaysia dan China memanfaatkan teknologi bagi meningkatkan perdagangan dua hala.

 

"Saya yakin NSW Malaysia, yang akan diselaraskan dengan sistem kastam China, akan memudahkan operasi perniagaan dan perdagangan dengan mengurangkan kerenah birokrasi dan memperkemaskan proses, sekali gus memajukan perdagangan rentas sempadan Malaysia-China," ujar Zafrul.

 

Beliau juga menjelaskan keutamaan kerajaan seterusnya adalah menyepadukan NSW dengan Tetingkap Tunggal Asean, memandangkan perdagangan intra-Asean pada masa ini hanya pada 23% hingga 25%, menunjukkan potensi besar untuk peningkatan perdagangan dalam kalangan anggota Asean.- DagangNews.com