NCCIM lantik N Gobalakrishnan sebagai Presiden baharu penggal 2024 hingga 2026 | DagangNews Skip to main content

NCCIM lantik N Gobalakrishnan sebagai Presiden baharu penggal 2024 hingga 2026

Datuk Seri N Gobalakrishnan, gambar dari Facebook NCCIM

KUALA LUMPUR 30 Julai - Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) melantik Datuk Seri N Gobalakrishnan sebagai presidennya bagi penggal 2024 hingga 2026.

 

Pelantikan rasmi Gobalakrishnan bagi menggantikan Tan Sri Soh Thian Lai itu dilangsungkan semasa Mesyuarat Agung Tahunan ke-48 NCCIM pada Jumaat, 26 Julai 2024 di Hotel One World, Petaling Jaya.

 

Di bawah kepimpinan Gobalakrishnan, NCCIM akan mengukuhkan hubungan dengan kerajaan, komuniti perniagaan tempatan dan antarabangsa, serta menyokong dasar Kerajaan dan memupuk pertumbuhan ekonomi mampan.

 

NCCIM berkata, dewan itu teruja dengan perspektif baharu yang akan dibawa oleh Gobalakrishnan.

 

"Pengalaman beliau yang luas dan kepimpinan proaktif dijangka membawa NCCIM ke tahap kejayaan dan kerjasama yang baharu," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

NCCIM turut melahirkan penghargaanya kepada Soh, sambil menyatakan bahawa di bawah kepimpinan beliau, dewan itu berkembang berpengaruh dan diiktiraf serta memudahkan dialog berkesan antara komuniti perniagaan tempatan, antarabangsa dan agensi kerajaan.

 

NCCIM turut mengekalkan pendirian untuk menyokong pelbagai keperluan komuniti perniagaan di Malaysia.

 

Diasaskan pada 1962, NCCIM merupakan organisasi perniagaan tertinggi di Malaysia, yang terdiri daripada lebih 700,000 ahli merentasi lima dewan perniagaan.

 

Lima dewan itu melibatkan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPPM), Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Bersekutu Malaysia (MAICCI), Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI) dan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM). - DagangNews.com