KUALA LUMPUR 22 Ogos - Nokia telah dipilih oleh TM untuk membina rangkaian optik antarabangsa, Dense Wavelength Division Multiplexing (DWDM) bagi menambahbaikkan pengurusan trafik dan ketersambungan pusat data.
Menurut Nokia, penyelesaian DWDM olehnya akan menyokong trafik data TM serta memenuhi permintaan pelanggan hiperskalanya terutamanya dalam aplikasi masa nyata dan perkhidmatan kependaman rendah berasaskan awan.
Selain itu, Nokia berkata, rangkaian DWDM baharu akan bertindak sebagai laluan ekspres trafik data, menghubungkan sempadan Malaysia-Thailand ke sempadan Malaysia-Singapura.
"Ia akan menyediakan kesalinghubungan hiper kepada pusat data utama Malaysia dan stesen pendaratan kabel bagi menampung pertumbuhan eksponen trafik data di seluruh negara," ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Setelah rangkaian baharu itu siap, Nokia berkata, ia akan membantu TM mempercepatkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi memanfaatkan automasi dalam meningkatkan prestasi dan operasi rangkaian.
"Rangkaian semua optik akan memberikan prestasi penghantaran unggul pada jarak jauh, meningkatkan kapasiti dan skala sambal menggunkana tenaga rendah untuk memastikan kelestarian alam sekitar.
"TM dapat menguruskan data volum besar yang dijanakan oleh hiperskala dengan cekap melalui penghantaran isyarat menerusi kabel gentian optik tunggal."
Selain itu, TM juga akan memanfaatkan platform Nokia WaveSuite bagi mengoptimumkan rangkaian dan operasinya sambil mengewangkan aset rangkaiannya melalui aplikasi pembolehan perkhidmatan.
Naib Presiden Kanan dan Ketua Jualan Asia Pasifik bagi Infrastruktur Rangkaian di Nokia, John Harrington berkata, kerjasamanya dengan TM akan mempercepatkan penggunaan AI dan menangani kesalinghubungan hiper yang semakin meningkat.
"Penyelesaian optik terbaik dalam kelas kami akan membolehkan TM menyediakan pengalaman rangkaian yang mampan dan bertaraf dunia kepada pengguna akhirnya di rantau ini.
"Melalui makmal teknikal kami di Malaysia, ditambah pula dengan pembuatan peralatan DWDM tempatan akan memastikan pelaksanaan projek ini dijalan lancar dan tepat pada masanya.”- DagangNews.com